mutakhir

Geran bersyarat RM250,000, antara hadiah MYHackathon 2020

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Rakyat negeri ini dipelawa menyertai MYHackathon 2020, pertandingan inovasi bagi mewujudkan penyelesaian digital yang dapat membantu memperbaiki sistem penyampaian awam.

Ia adalah satu siri hackathon atau pertandingan untuk menghasilkan aplikasi digital di anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama Cradle Fund (Cradle Fund) Sdn Bhd selaku penaja utama bersama Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCEIC) selaku rakan strategik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund, Rafiza Ghazali berkata, peserta yang berjaya mempamerkan penyelesaian digital terbaik berpeluang memenangi hadiah menarik, termasuk geran bersyarat berjumlah RM250,000.

Katanya, pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang https://myhackathon.com.my, dan terbuka kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

"Hackathon bertemakan Rakyat Produktif bagi siri Kota Kinabalu itu bermula hari ini dengan tumpuan untuk mengukuhkan produktiviti nasional dan memperkemas perkhidmatan kerajaan yang boleh meningkatkan produktiviti.

"Peserta akan membantu mencari penyelesaian digital terhadap masalah yang berkaitan pencari kerja, persijilan halal, program latihan yang memenuhi keperluan industri dan 'Data Besar' untuk sektor ekonomi," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Hackathon berkenaan dibahagikan kepada dua kategori - Sprint dan Marathon dengan peserta boleh terdiri daripada dua hingga lima orang dalam satu kumpulan bagi setiap kategori.

Maklumat lanjut mengenai hackathon Rakyat Produktif boleh diperoleh melalui laman sesawang https://www.myhackathon.com.my/kk.

Rafiza berkata, peserta yang mendaftar bagi kategori Marathon yang menawarkan geran bersyarat RM250,000 perlu menyelesaikan masalah kerajaan yang dinyatakan.

Beliau berkata, matlamat utama adalah membantu menaik taraf kehidupan rakyat di seluruh negara menerusi penyelesaian digital dan memperkaya pembangunan keusahawanan teknologi selain ekosistem.

"Selepas kajian dijalankan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), kita mengenal pasti lebih 100 kenyataan masalah berdasarkan situasi kehidupan sebenar rakyat dan isu yang sangat memberi kesan kepada mereka.

"Menerusi MyHackathon 2020, kita bukan saja berharap untuk memperbaiki kualiti hidup rakyat, malah menaikkan semangat altruisme dan memupuk inovasi dalam kalangan rakyat sama ada di bandar atau luar bandar," katanya.

Sementara itu, sebagai rakan strategik, SCEIC membantu Cradle Fund untuk membawa lebih ramai peserta dari Sabah selain menjadi penghubung di antara syarikat permulaan dalam bidang teknologi, usahawan di Sabah dan MyHackathon 2020.

Disiarkan pada: November 30, 2020 @ 2:49pm
d