mutakhir

Pondok usang lindung keluarga

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Membina pondok daripada bahan buangan sejak dua tahun lalu dalam kebun getah bukanlah kehendak Ahmad Firdaus Mohamad, 37, tetapi dia tiada pilihan selain terpaksa berteduh dalam pondok itu bersama-sama isteri dan empat anak.

Desakan hidup membuatkan dia terpaksa menjadikan dinding dan pintu tidak digunakan lagi penduduk Kampung Londang, Masjid Tanah dekat sini sebagai bahan membina pondok itu semata-mata memastikan dia dan isteri, Nurul Amalina Brenjen Abdullah, 30, serta empat anak berusia antara tujuh bulan hingga tujuh tahun mampu meneruskan kehidupan.

Dengan pendapatan tidak menentu sekadar mengambil upah menoreh getah dan kerja kampung, Ahmad Firdaus dan anggota keluarganya terpaksa bersabar sementara menunggu pondok berkenaan menjadi rumah impian sempurna.

"Saya kumpulkan bahan buangan membina pondok selain memasang khemah berlantaikan tanah untuk memastikan anggota keluarga dapat berlindung daripada panas dan hujan.

"Kami memilih sudut di kebun getah milik ibu saya untuk membina pondok buruk ini dan dari semasa ke semasa saya menambah baiknya tetapi saya tidak mampu menyimen lantai tanah dan terpaksa mengalas dengan papan lapis yang saya jumpa," katanya ketika ditemui di pondok itu hari ini.

Beliau menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara Datuk Md Rawi Mahmud yang menyampaikan sumbangan wang tunai dan bahan makanan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Turut hadir, Penyiasat MAIM Muhammad Haikal Abdul Wahid, Pegawai Pusat Zakat Alor Gajah Maz Faizal Ismail, Penghulu DUN Tanjung Bidara Azizan Daud, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Londang Datuk Abdul Mutallif Che Mat dan Sidang kampung Awaluddin Jonid.

Ahmad Firdaus berkata, walaupun terpaksa bertarung dengan tempias ketika hujan lebat, dia dan anggota keluarga termasuk anak sulung orang kurang upaya (OKU) terpaksa terus berteduh di pondok berkenaan.

Md Rawi berkata, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Tanjung Bidara membantu keluarga terbabit disenaraikan sebagai penerima Rumah Sejahtera Rakyat milik kerajaan negeri.

"Sebagai langkah sementara sebelum rumah itu dibina, MAIM akan membina tandas dan bilik mandi di pondok sedia ada, selain memberikan bantuan makanan bulanan," katanya.

Beliau berkata, JAPERUN Tanjung Bidara menggesa kerajaan negeri segera membina rumah berkenaan kerana keadaan Ahmad Fairuz dan keluarganya terpaksa berlindung dalam pondok kekurangan itu dan amat menyedihkan.

Katanya, beliau yakin rumah itu segera direalisasikan berdasarkan kedaifan keluarga terbabit yang terpaksa bertarung dengan kedinginan malam selain nyamuk dalam kebun getah.

Disiarkan pada: November 30, 2020 @ 2:54pm
d