mutakhir

Speaker puji kematangan ADUN

Oleh Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Speaker Dewan Undangan (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat memuji prestasi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang disifatkan lebih matang dan menumpukan isu rakyat ketika perbahasan Belanjawan Johor 2021.

Suhaizan berkata, ADUN juga banyak mengutarakan permasalahan dan isu rakyat negeri ini yang terhimpit akibat wabak Covid-19.

Katanya, ia adalah perubahan yang sangat positif berbanding perbahasan ketika sesi DUN pada 2018 contohnya, apabila terdapat ADUN yang gemar berkonfrontasi dan memainkan isu mengikut sentimen kepartian dan peribadi.

"Saya puji prestasi ADUN Johor setakat ini yang lebih matang dan menumpukan pada permasalahan rakyat yang terjejas ketika sesi perbahasan.

"Jika dulu ada ADUN yang gemar berkonfrontasi dan menimbulkan pertikaian, namun kini mereka lebih melengkapi antara kerajaan dan pembangkang.

"Ini mungkin kerana kedua belah pihak baik kerajaan mahu pun pembangkang berpengalaman mentadbir negeri, jadi mereka semakin memahami situasi yang dihadapi rakyat," katanya ketika ditemui pada sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di sini, hari ini.

Terdahulu, Suhaizan ketika mengendalikan sesi perbahasan Belanjawan Johor 2021 di DUN Johor, memuji ADUN yang berbahas kerana disifatkan bersedia dengan fakta dan lebih fokus terhadap isu rakyat.

Sidang DUN Johor Penggal Ketiga bermula Khamis lalu dengan pembentangan Belanjawan Johor 2021 oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan dijadualkan berakhir 6 Disember.

Terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, BERSATU (12), MIC (dua), PAS (satu) sementara AMANAH (sembilan) dan PKR (empat).

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata, ADUN atau wakil rakyat Johor diharap meneruskan prestasi cemerlang mereka di samping memberikan input dan cadangan luar kotak bagi membantu rakyat Johor yang terhimpit akibat wabak Covid-19.

"Idea luar kotak dan baharu perlu lebih banyak dicadangkan dalam situasi negeri berdepan COVID-19 berbanding cadangan sama iaitu bantuan one off yang sudah banyak dilontarkan," katanya.

Suhaizan berkata, beliau ada memberi cadangan kepada Menteri Besar untuk mengadakan lebih banyak sesi dialog termasuk sesi pertemuan secara maya dengan kesemua ADUN bagi mereka berkongsi idea baharu untuk membantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19.

"Kita perlukan idea-idea di luar kotak dan pembaharuan tentang Covid-19 sama ada dari segi bantuan mahupun langkah membendung wabak ini," katanya.

#kw ADUN, matang, bahas, DUN Johor, speaker

Disiarkan pada: November 30, 2020 @ 4:20pm
d