mutakhir

15 suspek termasuk 'Datuk' disambung reman

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Seramai 15 suspek yang terbabit dalam pergaduhan di sebuah pub di Jalan Puchong, di sini, 25 November lalu disambung reman selama lima hari.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, polis kini sedang melakukan siasatan terhadap pembabitan semua suspek dalam kumpulan kongsi gelap.

"Siasatan juga mendapati seorang lelaki bergelar 'Datuk' yang ditahan ada menerima watikah penganugerahan berkenaan dari sebuah negeri.

"Namun polis akan melakukan pemeriksaan dengan pihak istana sama ada gelaran yang diguna itu adalah sah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Saiful berkata, pihaknya juga menerima laporan daripada pemilik premis berkenaan mengenai peras ugut yang dilakukan kumpulan terbabit.

"Esok suspek yang sama juga akan dipohon reman mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut," katanya.

Pada 25 November lalu, polis menahan 19 lelaki termasuk seorang lelaki dipercayai bergelar Datuk selepas terbabit dalam pergaduhan di sebuah pub di Jalan Puchong.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan berlaku pergaduhan di lokasi terbabit, jam 11.20 malam.

"Sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi kemudian menahan 19 lelaki berusia antara 38 hingga 59 tahun yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu termasuk seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Datuk.

"Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada kekecohan yang tercetus selepas sekumpulan lelaki yang datang ke pub berkenaan untuk berhibur, namun premis terbabit sudah tutup.

"Seorang koperal polis yang kebetulan berada di lokasi untuk mendapatkan maklumat berkaitan satu kes kebakaran kereta di tempat itu sebelum ini cuba meleraikan kekecohan itu, namun ia bertukar menjadi pergaduhan," katanya.

Berita berkaitan

Datuk ditahan bergaduh di pub

Disiarkan pada: November 30, 2020 @ 6:02pm
d