mutakhir

PPS SK Pengkalan Jaya ditutup

Oleh Nur Izzati Mohamad

Tasek Gelugor: Pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Jaya di sini, sejak pagi semalam bagi menempatkan 47 mangsa banjir ditutup sepenuhnya petang hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata, Pegawai Daerah Seberang Perai Utara mengisytiharkan bahawa PPS berkenaan ditutup pada 4 petang dan kesemua mangsa banjir sudah dihantar pulang ke kediaman masing-masing oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

PPS berkenaan menempatkan 15 keluarga membabitkan 47 individu sejak semalam selepas rumah mereka dinaiki air.

Bagaimanapun, 10 keluarga pulang ke kediaman masing-masing beberapa jam kemudian selepas air surut, manakala lima keluarga lagi berlindung di PPS terbabit memandangkan rumah mereka masih ditenggelami air.

Secara keseluruhannya, tiga PPS dibuka di kawasan Seberang Perai selepas beberapa kawasan dilanda banjir kilat.

Dua lagi PPS iaitu Dewan Orang Ramai Bukit Teh dan SK Sri Penanti di Bukit Mertajam yang menempatkan 22 mangsa terdiri dari enam keluarga sudah ditutup pada 12 tengah hari semalam.

Disiarkan pada: November 30, 2020 @ 6:15pm
d