mutakhir

48 PPS sedia diaktifkan di Sibu

Oleh BERNAMA

Sibu: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu mengenal pasti 48 pusat pemindahan sementara (PPS) banjir yang akan diaktifkan apabila terdapat keperluan, kata Pengerusinya Charles Siaw.

Siaw yang juga Residen Bahagian Sibu berkata, sebanyak 25 PPS terletak di daerah Sibu, 17 di Kanowit manakala enam pusat dikenal pasti di Selangau.

"(Walaupun) pusat pemindahan ini sudah bersedia dan boleh diaktifkan bila-bila masa, kebimbangan kita pada masa ini ialah pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di pusat berkenaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pengurusan banjir di sini hari ini.

Monsun timur laut dijangka menyebabkan hujan lebat di Sarawak antara Januari hingga Februari tahun hadapan.

Beliau berharap mereka yang terjejas akibat banjir dan dipindahkan ke PPS akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan penularan wabak itu.

Satu simulasi pemindahan banjir akan dijalankan di Selangau minggu hadapan untuk menyelaras persediaan yang dirancang jawatankuasa berkenaan.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dr Annuar Rapaee yang menghadiri mesyuarat itu sebagai penyelaras jawatankuasa berkenaan berkata, Sibu adalah kawasan rendah dan sekiranya hujan berterusan akan menyebabkan banjir berlaku.

"Bagaimanapun, ia bukan satu-satunya perkara yang kita bimbangkan. Hujan lebat di hulu Sungai Rajang akan menyebabkan banjir selama dua ke tiga hari. Kita sudah meminta bantuan daripada rakan sejawatan di Kapit untuk memaklumkan kepada kita sekiranya paras air sungai meningkat," katanya.

Bilik operasi jawatankuasa itu sudah diaktifkan dan orang ramai yang memerlukan bantuan untuk dipindahkan boleh menghubungi talian 084-317994, 084-315653, 084332581 dan 019-8472109.

Disiarkan pada: November 30, 2020 @ 8:36pm
d