mutakhir

Kilang selenggara jentera berat disita [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Rawang: Sebuah kilang penyelenggaraan jentera berat yang beroperasi secara haram di atas tanah rizab sungai di sini, disita Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hari ini.

Kilang yang beroperasi lebih 10 tahun itu sudah diberikan dua kali notis untuk mengosongkan kawasan berkenaan, namun pemilik dipercayai masih berdegil dan tidak menghiraukan arahan pihak berkuasa.

Berikutan itu, sepasukan penguat kuasa MPS bersama pegawai Pejabat Tanah dan Daerah melakukan Operasi Bersepadu Pembangunan Tanpa Kebenaran di kilang berkenaan kira-kira jam 10 pagi, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, siasatan mendapati kilang penyelenggaraan jentera berat itu dibangunkan secara haram atas tanah kerajaan dan rizab sungai seluas 0.9 hektar.

"Pengusaha kilang juga sudah diberikan notis pengosongan dengan notis terbaru pada September lalu. Apabila notis tamat tempoh, kita datang ke sini hari ini mendapati kilang masih beroperasi dan tiada tindakan diambil oleh pengusaha kilang.

"Ia bukan saja didirikan atas tanah kerajaan tetapi turut terletak kira-kira 200 meter dari Sungai Garing yang mengalir ke Sungai Selangor.

"Sekiranya ia tidak menghentikan operasi dikhuatiri pencemaran sungai akan berlaku di masa hadapan kerana risiko itu ada," katanya dalam sidang media selepas menyertai operasi di kilang itu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kilang berkenaan akan dirobohkan dalam tempoh dua minggu dan tindakan lanjut akan diambil terhadap pengusaha kilang termasuk mengheret individu terbabit ke mahkamah.

Ng berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 kerana menceroboh tanah kerajaan.

Katanya, MPS ketika ini sedang mengesan kilang haram, menceroboh tanah kerajaan dan berada hampir kawasan sungai dengan empat kilang sudah dikenal pasti setakat ini.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri bercadang mengalihkan kesemua kilang yang berisiko menyebabkan pencemaran sungai ke kawasan perindustrian yang baharu.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan beberapa pemaju bagi mewujudkan kawasan perindustrian khas untuk membangunkan kilang sedemikian.

"Di Rawang sahaja banyak kilang penyelenggaraan jentera didirikan dan kita akan melakukan sesuatu termasuk mencadangkan ia dipindahkan ke kawasan perindustrian bersesuaian, tidak berhampiran sungai.

"Keperluan untuk mencari tapak perindustrian baharu perlu dilakukan segera untuk memastikan industri itu berada di kawasan yang sesuai. Kita akan berbincang dengan pemaju mengenai perkara ini," katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 1:35pm
d