mutakhir

'Siuman atau tidak kita kesan dulu' - Polis

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kenyataan seorang individu yang mengugut akan menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan menyerang Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya juga kini sedang mengesan suspek untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Ada dakwaan mengatakan suspek tidak siuman namun siuman atau tidak kita akan kesan terlebih dahulu.

"Suspek juga dikesan turut terbabit dengan membuat kenyataan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong beberapa bulan lalu," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Semalam Harian Metro melaporkan seorang lelaki mendakwa dirinya ketua komander kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) 2.0 akan menyerang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Individu terbabit yang menghantar ugutannya melalui emel kepada pihak media turut mendakwa akan menyerang Sri Lanka selepas serangan itu.

Dalam mesej berkenaan, individu terbabit turut mendakwa akan menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Malah dia juga mendakwa pihak polis menghalang media untuk berhubung dengannya sehingga gagal menggunakan WhatsApp dan telefon bimbit termasuk komputernya turut disekat.

Individu terbabit juga memberikan nombor telefonnya dan bersedia ditemubual media yang berminat.

Berita berkaitan:

  • Mahu tembak mati Ketua Polis Negara, serang Bukit Aman
  • Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 2:32pm
    d