mutakhir

Senapang angin bawah katil

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Dungun: Serbuan ke atas sebuah rumah di Paka di sini, hari ini membawa kepada penemuan selaras senapang angin bersama 17 biji bebola besi.

Polis turut menahan seorang lelaki berusia 50 tahun pada serbuan jam 1.30 pagi tadi, hasil maklumat awam dan risikan.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek bekerja sebagai tukang rumah dan pihaknya menemui senjata buatan sendiri itu di bawah katil di bilik tidur rumah.

"Pemeriksaan turut menemui mesin pemampat angin dan kotak mengandungi 17 bebola besi dalam almari di ruang tamu," katanya dihubungi.

Menurut beliau, suspek mendakwa senapang angin itu milik arwah abangnya yang digunakan untuk memburu pelanduk di hutan dengan kali terakhir digunakan pada November tahun lalu.

"Siasatan masih berjalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960," katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 2:40pm
d