mutakhir

Didakwa miliki senjata 'paintball' seperti senjata tiruan

Oleh Amir Mamat

Ayer Keroh: Bekas pengurus syarikat paintball mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki 22 laras senjata paintball yang menyerupai senjata tiruan.

Tertuduh, Idilhan Ibrahim, 50, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dalam milik dan jagaannya sebanyak 22 laras senjata paintball 'marker' yang menyerupai senjata tiruan di Pusat Ekuestrian Hang Jebat pada 9.20 pagi, 12 September lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari, manakala tertuduh diwakili peguam, Mawar Nur Izatti Md Zamri yang memohon anak guamnya ditawar jaminan rendah kerana hanya seorang pengurus yang menguruskan senjata dan bukannya pemilik syarikat.

Tertuduh juga, katanya, hanya menjalankan tugas dan tidak lagi bekerja serta perlu menanggung ahli keluarga termasuk tiga anak, selain rawatan ibu yang menghidap alzheimer.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Januari depan sebagai sebutan semula kes.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 2:42pm
d