mutakhir

Anggota polis ditahan kes kelindan lori 'sogok' dua guni bawang

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat seorang kelindan lori yang ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) ketika melalui susur keluar Plaza Tol Senawang, di sini, semalam.

Difahamkan kelindan lori lori berusia 26 tahun itu dalam perjalanan menghantar bawang dari Seksyen 27 Shah Alam ke Seremban dan didapati tiada surat majikan menyebabkan dia ditahan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, anggota polis itu ditahan di Senawang pada 12 tengah hari semalam.

"Pada 30 November 2020 (semalam) lebih kurang 9.44 pagi, polis menerima satu laporan berhubung dakwaan pengadu (kelindan lori).

"Pada waktu itu, pengadu mendakwa diminta untuk membuat bayaran dan bagi menggantikan bayaran berkenaan, pengadu diminta menyerahkan dua guni bawang yang berada di dalam lori pengadu.

"Bertindak atas maklumat , siasatan terperinci dijalankan dan tangkapan ke atas suspek iaitu seorang anggota polis dibuat pada hari sama iaitu pada 12 tengah hari di Senawang," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Menurutnya, polis menjalankan siasatan lanjut dan terperinci tanpa sebarang kompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 2:44pm
d