mutakhir

Hobi seni stensil jana pendapatan

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Bermula sekadar hobi waktu lapang kini karya seni stensil dihasilkannya mendapat permintaan ramai bukan saja di dalam negara malah turut menambat hati pembeli dari Indonesia dan Singapura.

Gadis dari Shah Alam, Selangor, Mir Amelyn Saffiya Hazil Azran, 19, ini membuktikan usianya bukanlah penghalang menjana pendapatan sendiri.

Mir Amelyn Saffiya berkata, dia mula mempelajari teknik lukisan seni stensil itu dalam kelas mata pelajaran Pendidikan Seni ketika berada di Tingkatan 3.

"Saya mempelajari teknik seni stensil ini dengan Cikgu Misbah iaitu guru praktikal ketika bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9.

"Selepas itu, saya mula mempelajarinya sendiri sehingga dapat menghasilkan karya potret muka sebenar dengan menggunakan lapan ke sembilan lapisan," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, antara karya terbaik dihasilkannya menggunakan teknik seni stensil ini termasuklah potret Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza; anakanda Raja Permaisuri Agong, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.

Katanya, dia juga tidak menyangka karyanya tular selepas memuat naik hasil potret Tok Ti di aplikasi TikTok miliknya sehingga menerima lebih 20 tempahan setakat ini.

"Saya mula menjualnya pada awal Mac lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas idea dan saranan ibu bapa.

"Pada awalnya, tidak yakin karya ini akan ada permintaan pembeli tetapi siapa sangka ada yang meminatinya dan bersyukur setiap bulan saya menerima lima tempahan.

"Malah, saya juga terkejut dan gembira apabila menerima lima tempahan potret daripada pembeli dari Singapura dan Indonesia," katanya.

Mir Amelyn Saffiya berkata, dia kini memanfaatkan masa yang ada menyiapkan tempahan pelanggan sementara menunggu permohonan UPU awal tahun depan dalam bidang bahasa atau perniagaan.

"Tempahan bagi Disember dan Januari depan sudah penuh dan bersyukur atas rezeki yang tidak terduga ini.

"Ibu dan bapa saya juga masih bekerja dan bersyukur keluarga kami tidak terlalu terkesan dari segi kewangan akibat pandemik Covid-19.

"Jadi, pendapatan yang saya terima daripada hasil karya ini sedikit sebanyak dijadikan wang simpanan peribadi," katanya.

Anak kedua daripada tiga adik beradik itu berkata, dia sudah menjual lebih 30 potret hasil seni stensil setakat ini yang berharga dalam lingkungan RM100 hingga RM500 bergantung saiz kanvas.

Terdahulu, hasil karya seni stensil Mir Amelyn Saffiya yang dikongsinya atas permintaan pelayar di aplikasi TikTok mendapat perhatian warganet sehingga meraih lebih 200,000 tontonan.

Hasil karyanya juga tular di Twitter selepas dimuatnaik akaun @mynmsnrkml dan mendapat lebih 8,000 ulang ciap serta 27,000 tanda suka setakat ini.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 2:53pm
d