mutakhir

Rakyat Malaysia kini hidup lebih lama

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Tahap kesihatan rakyat Malaysia dilihat meningkat berbanding beberapa dekad lalu namun peningkatan ini didapati berlaku secara tidak sekata bagi setiap lapisan masyarakat.

Menerusi laporan terkini Khazanah Research Institute (KRI) bertajuk 'Ketidakseimbangan Sosial dan Kesihatan di Malaysia', mendapati rakyat Malaysia kini hidup lebih lama.

Menurutnya, secara purata, bayi lelaki dan perempuan yang lahir pada 2020 masing-masing dijangka hidup selama 72.6 dan 77.6 tahun, 11 tahun lebih lama berbanding bayi yang lahir pada 1970.

"Peningkatan jangka hayat ini adalah hasil pengurangan kadar kematian, termasuk kematian kanak-kanak dan ibu bersalin. Sebagai contoh, pada tahun 1970, kadar kematian di kalangan bayi berumur kurang daripada 28 hari (kadar kematian neonatal) ialah 21.4 bagi setiap 1,000 kelahiran, dan kadar ini telah menurun kepada 4.1 pada tahun 2019.

"Selain itu, nisbah mortaliti ibu bersalin sudah menurun daripada 140.8 kematian bagi setiap 100,000 kelahiran pada 1970 kepada 21.1 pada 2019.

"Hidup lebih lama tidak bermakna hidup lebih sihat dan jangka hayat masih belum memadai sebagai petunjuk taraf kesihatan penduduk; ramai rakyat Malaysia mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung, sakit belakang dan penyakit mental, terutama semasa tua," katanya.

Sehubungan itu, penilaian tahap kesihatan penduduk tidak wajar tertumpu kepada peningkatan jangka hayat semata-mata, tetapi perlu memastikan peluang untuk menjalani hidup dengan lebih sihat.

Menurut laporan KRI, dalam mengkaji tempoh masa di mana rakyat terpaksa hidup dengan penyakit dan kecacatan atau kekurangan upaya, laporan mengemukakan jangka hayat sihat (HALE) iaitu jumlah tahun seseorang dijangka hidup dalam keadaan sihat.

Tahun lalu, penduduk Malaysia mempunyai purata jangka hayat sihat selama 65.5 tahun.

Ini bermaksud walaupun bayi dilahirkan pada 2019 dijangka hidup selama 75.0 tahun, 9.5 tahun dilalui dalam keadaan tidak sihat.

Selain itu, laporan terbabit mendapati peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia adalah tidak sekata.

"Contohnya, bayi lelaki yang lahir di Sarawak atau Kuala Lumpur pada 2020 dijangka hidup 74 tahun, berbanding 69 tahun bagi bayi lelaki yang lahir di Perlis, Terengganu atau Kelantan pada tahun yang sama (perbezaan lima tahun).

"Perbandingan jangka hayat Malaysia dengan negara yang di tahap pembangunan turut menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.

"Walaupun Malaysia mempunyai jangka hayat yang hampir sama dengan Mexico dan lebih tinggi daripada Turki dan Thailand pada 1990, negara berkenaan telah melepasi Malaysia dengan jangka hayat yang lebih tinggi pada 2019," katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 5:07pm
d