mutakhir

Dah mula banjir, kedai kopi Sani tetap buka [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Sejak tiga hari lalu, limpahan air daripada Sungai Golok mula memasuki beberapa kampung di daerah ini terutama di sekitar Pengkalan Kubor.

Antara kampung yang terbabit adalah Kampung Bendang Pak Yong, Teluk Jering, Kajang Sebidang, Kubang Sawa dan Naga Ibu yang menjadikan lebih 2,000 penduduknya berjaga-jaga.

Bagi pemilik kedai kopi, Sani Mamat, 42, dalam tempoh tiga hari ini, air mulai melimpah masuk ke beberapa kampung walaupun catatan di Sungai Golok masih di paras normal.

"Dalam tempoh tiga hari kebelakangan ini air akan mulai naik pada waktu pagi iaitu mencecah 0.5 meter manakala menjelang tengah hari hingga ke petang akan surut sedikit namun tetap bertakung.

"Kedai kopi saya ini sentiasa dibuka walau berlaku banjir sekalipun kerana saya turut menjual barangan runcit dan sering menjadi tumpuan pada waktu hujan atau banjir disebabkan penduduk tidak dapat keluar ke kedai lain.

"Paling tinggi paras air pernah dicatatkan adalah 1.2 meter dan kedai runcit saya tetap dibuka yang mana urus niaga dibuat melalui tingkap kerana segala barangan sudah dialihkan ke tingkat atas," katanya ketika ditemui di kedai kopinya di sini, hari ini.

Hasil tinjauan yang dibuat di Kampung Bendang Pak Yong di sini mendapati rutin penduduk kampung masih berjalan seperti biasa walaupun paras air sentiasa berubah dan situasi itu seolah ditunggu-tunggu kerana kelihatan orang ramai terutama kanak-kanak dan remaja seronok bermain air.

Seorang lagi penduduk, Mohd Azrul Abdul Rahman, 32, berkata, selain penduduk kampung sendiri, ramai juga individu dari luar yang datang meninjau keadaan banjir malah mengambil kesempatan bermain air.

"Memang setiap tahun begini terutama menjelang petang, ramai yang bermain air sama ada berjalan kaki, menunggang basikal atau motosikal dan berkereta," katanya.

Dia berkata setakat tiga hari ini, limpahan air yang masuk ke beberapa kampung sekitar masih terkawal namun dalam masa yang sama penduduk tetap berwaspada sekiranya berlaku hujan berterusan yang boleh menyebabkan keadaan bertambah buruk.

"Tidak semua penduduk kampung akan berpindah kerana bagi binaan rumah yang agak tinggi, penghuninya tidak perlu ke pusat pemindahan namun pergerakan mereka untuk keluar agak terhad.

"Bagaimanapun majoriti penduduk kampung mempunyai bot sendiri yang boleh digunakan untuk pergerakan seharian," katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 5:07pm
d