mutakhir

Mohon PBT kurangkan sewa bangunan perniagaan

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Belanjawan Melaka 2021 yang bakal dibentangkan pada 11 Disember ini diharap menyediakan peruntukan bagi meringankan beban rakyat terutama peniaga dibebani masalah akibat pandemik Covid-19.

Peruntukan itu harus diberikan dalam bentuk kewangan atau pengurangan cukai premis perniagaan dikendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ahli Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Jaafar Atan berkata, kerajaan negeri harus meminta PBT mengurangkan kadar sewa bangunan perniagaan milik PBT atau lesen perniagaan bagi meringankan beban peniaga yang kebanyakannya 'nyawa-nyawa ikan' akibat pandemik itu.

"Bantulah peniaga yang menerima kesan amat berat akibat pandemik Covid-19 dengan mengurangkan kadar sewa bangunan kedai milik PBT atau lesen perniagaan pada 2021.

"Walaupun kerajaan negeri dijangka mengalami penyusutan pendapatan akibat pandemik itu, peruntukan khusus untuk peniaga harus disediakan bagi memastikan perniagaan mereka mampu bertahan," katanya.

Sementara itu, pengusaha chalet di pantai Pengkalan Balak, Yusof Yaacob, 63, berkata PBT harus membantu mengurangkan cukai pintu dan lesen perniagaan berikutan kesukaran pengusaha untuk mendapatkan tetamu akibat wabak berkenaan.

Katanya, pandemik itu menyebabkan perolehan pendapatan syarikatnya berkurangan kira-kira 70 peratus berbanding tahun lalu.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 5:16pm
d