mutakhir

Terkenang arwah sahabat pencinta kucing

Oleh Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: "Aku nak kucing-kucing ni doakan ibu aku," itu kata terakhir Allahyarham Abdul Rahim Muhamad Abdul Shukor, 15, kepada sahabat baiknya, Haikal Abdul Rahim, 22.

Allahyarham Abdul Rahim meninggal dunia pada 16 November lalu akibat kemalangan jalan raya dan ketika hayatnya, arwah seorang sukarelawan Filosofi Sahabat Jalanan yang aktif memberi makan kepada kucing jalanan di Sungai Petani, Kedah.

Berkongsi mengenai sikap sahabatnya, Haikal berkata, arwah adalah seorang yang baik dan sentiasa berfikir untuk melakukan sesuatu yang membahagiakan keluarganya, terutama ibunya.

Menurutnya, arwah pernah memberitahu dia ingin masuk universiti kerana ingin mengubah nasib keluarga dan memasang impian untuk menghadiahkan kereta kepada ibunya suatu hari nanti.

"Bila Filosofi Sahabat Jalanan sudah mendapat nama, kami hanya buat di sekitar rumah, di kawasan Sungai Petani sehingga mendapat liputan Majalah 3.

"Namun, arwah rasa dapat masuk Majalah 3 pun belum dapat membahagiakan ibunya dan dia ingin belajar bersungguh-sungguh lagi," katanya kepada Harian Metro.

Bagi Haikal, arwah yang dianggap seperti adik sendiri banyak mengajarnya tentang kehidupan sepanjang mereka bersahabat meskipun arwah masih muda.

Ditanya mengenai penubuhan Filosofi Sahabat Jalanan, Haikal berkata, arwah adalah antara pencetus idea untuk mereka memberi makanan kepada kucing di jalanan.

"Ketika itu pada awal minggu pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami kena pergi beli barang di pasar untuk keluarga masing-masing,

"Sambil membeli, saya tunjuk video kucing jalanan di Eropah yang tidak mendapat sumber makanan dan arwah suruh saya tengok kucing di sekeliling kami.

"Kami terus berkongsi duit untuk beli ikan sekilogram untuk diberikan kepada kucing yang terbiar di situ," katanya.

Menurutnya, arwah yang juga anak kelima daripada lapan beradik itu pada asalnya tidak menyukai kucing.

Namun, katanya, melihat haiwan comel itu tidak mendapat makanan, arwah menjadi simpati dan mengajaknya untuk bersama-sama memberi makanan kepada kucing jalanan di sekitar kawasan rumah mereka.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 6:01pm
d