mutakhir

Menang Anugerah Tandas IPT Paling Bersih

Oleh Nazri Abu Bakar

Jasin: "Mengunjungi tandas pun boleh menambah ilmu," kata Aiman Juraimi, 19, pengunjung tandas Perpustakaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin.

Baginya, kebersihan dan keunikan tandas itu memang terserlah dan layak memenangi Pertandingan Tandas Bersih Peringkat Kebangsaan 2019 kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diumumkan bulan lalu.

Katanya, selain dilengkapi pelbagai info kebersihan, landskap menarik, kekemasan dan keselesaan seperti ruang tamu menjadi antara faktor pilihan panel penilai.

"Lebih menarik tandas berkenaan dilengkapi bahan ilmiah untuk dibaca walaupun bagi tempoh singkat.

"Majalah diletakkan di rak khas di setiap tandas dengan pelbagai judul turut menanam minat komuniti untuk membaca, sekali gus mendorong pengunjung untuk lebih terarah kepada mengisi masa dengan perkara positif.

"Tambahan pula, pokok bunga dan ikan hiasan melengkapkan persekitaran selesa dan mendamaikan walaupun berada di dalam tandas," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pustakawan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Melaka, Noor Hayati Abu Kassim berkata, kerjasama aktif semua kakitangan PTAR Kampus Jasin berjaya menceriakan tandas berkenaan.

Beliau berkata, pendekatan proaktif mereka membolehkan enam tandas pelajar selain kegunaan orang kurang upaya (OKU) diurus dengan baik.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 7:10pm
d