mutakhir

Penganggur samun guna pistol tiruan diberkas

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Seorang penganggur yang aktif menyamun menggunakan pistol tiruan ditahan polis di Jalan Kuchai Maju 8 Off Jalan Kuchai Lama, di sini, semalam.

Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada 9.45 malam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, penahanan suspek dibuat susulan laporan dibuat seorang wanita berusia 32 tahun yang cuba disamun suspek di sebuah restoran di lokasi sama pada 9.30 malam.

Menurutnya, suspek masuk ke dalam kereta mangsa sebelum mengacukan pistol untuk merampas barangan berharga pegawai bank itu.

"Jeritan mangsa menyebabkan suspek terkejut dan bergegas melarikan diri dari lokasi kejadian.

"Polis yang menerima maklumat itu kemudian berjaya mengesan suspek 15 minit kemudian dan menahannya," katanya, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut menemui sepucuk pistol tiruan yang digunakan suspek dalam kejadian itu.

Katanya, suspek yang tidak bekerja itu turut memiliki lapan rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960," katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 8:12pm
d