mutakhir

Perlindungan buat pemberi maklumat rasuah, salah laku [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pemberi maklumat mengenai rasuah dan salah laku dalam sektor awam mahupun swasta dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perlindungan yang diberikan kepada pemberi maklumat adalah melalui agensi penguatkuasaan yang digariskan dalam akta berkenaan, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

"Objektif penggubalan Akta 711 itu adalah untuk memerangi rasuah dan salah laku lain dalam sektor awam serta swasta dengan menggalakkan orang awam untuk mendedahkan perbuatan rasuah, selain kelakuan tidak wajar.

"Akta ini juga memberi perlindungan maklumat sulit, kekebalan daripada tindakan sivil dan jenayah serta perlindungan daripada tindakan memudaratkan. Ia memberi kuasa kepada agensi penguatkuasaan menjalankan penyiasatan terhadap kelakuan tidak wajar dan tindakan memudaratkan," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan R Sivarasa (PH-Sungai Buloh) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sivarasa bertanya dasar kerajaan untuk menubuhkan sistem dan prosedur untuk memberi perlindungan kepada pemberi maklumat dalam perkhidmatan awam dan semua agensi.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, pemberi maklumat yang bertindak dengan niat baik akan dilindungi dari segi identiti, alamat dan pekerjaan mereka selain perlindungan daripada sebarang tindakan sivil dan jenayah serta tindakan yang memudaratkan.

Justeru, katanya, pemberi maklumat perlu memberikan kerjasama dan bertindak mengikut peruntukan ditetapkan bagi membolehkan perlindungan sewajarnya diberikan kepada mereka mengikut undang-undang.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 11:37am
d