mutakhir

Tiada perancangan naik taraf jalan Pasir Pekan-Pasir Mas

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan tiada perancangan untuk menaik taraf jalan persekutuan Pasir Pekan-Pasir Mas berikutan keadaan trafik di jalan berkenaan stabil dan lancar.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, bagaimanapun, kementeriannya komited dalam memastikan tahap keadaan jalan sentiasa selamat dan selesa.

"Laluan Persekutuan 3 (FT003) Pasir Pekan-Pasir Mas pada masa ini menunjukkan isipadu trafik yang masih stabil dan lancar.

"Selain itu cadangan naik taraf laluan terbabit tiada dalam senarai keutamaan yang dihantar oleh kerajaan negeri Kelantan.

"Namun kementerian sudah memperuntukkan RM683,000 setahun bagi penyenggaraan rutin dan RM8.5 juta sejak 2018 hingga tahun ini bagi kerja penyenggaraan berkala," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Eddin menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang bertanya sama ada kerajaan berhasrat menaik taraf jalan berkenaan yang mengalami banyak kerosakan dan membahayakan pengguna.

Selain itu, beliau berkata, kementerian memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta setahun bagi penyenggaraan rutin di jalan persekutuan kawasan Parlimen Pasir Mas.

Malah, kementerian juga memperuntukkan sebanyak RM13.8 juta pada 2018 sehingga tahun ini bagi kerja penyenggaraan berkala.

Katanya, berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 634 kemalangan direkodkan di Pasir Mas dari 2017 hingga 2019.

Berikutan itu, kementerian memperuntukkan RM1.4 juta di bawah Program Menaiktaraf Keselamatan Lokasi Kerap Berlaku Kemalangan membabitkan enam lokasi untuk dinaik taraf.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 12:49pm
d