mutakhir

'Terima kasih kepada semua yang menyumbang'

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: "Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT. Terima kasih kepada tabung Bantuan Metro Prihatin serta orang ramai kerana sudi menghulurkan sumbangan untuk saya sekeluarga," kata mangsa kebakaran, Zakaria Abdul Rahman, 57.

Terdahulu, pada kejadian 6.45 petang, 9 September lalu, kediaman Zakaria di Kampung Solok Seberang Perai, Sungai Petai di sini, yang dihuni bersama ibu, Ramlah Lisut, 72, dan seorang adiknya, Mokhtar, 56, musnah terbakar.

Zakaria yang belum berkahwin kemudiannya menumpang di rumah rakan.

Ramlah menumpang di rumah seorang lagi anaknya, Abdul Malek, 53, di sebuah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Mokhtar yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) pula membina pondok berhampiran PPRT berkenaan sebagai tempat berteduh.

Menurut Zakaria, sumbangan RM5,000 diterima daripada Bantuan Metro Prihatin akan digunakan untuk membeli barangan keperluan.

"Pada pertengahan November lalu, saya menerima panggilan daripada kakitangan Media Prima Berhad (MPB) yang memaklumkan bahawa Bantuan Metro Prihatin akan menyumbang RM5,000 kepada kami.

"Pada 17 November lalu, saya menerima sumbangan berkenaan yang dipindahkan ke akaun bank saya. Wang itu akan digunakan untuk membeli peti sejuk dan makanan," katanya ditemui di Kampung Solok Seberang Perai.

Menurut Zakaria, dia mengambil upah melakukan kerja kampung selain pendawaian elektrik selepas bersara daripada bekerja di sebuah kilang dua tahun lalu bagi menampung hidup.

Pada masa sama, Zakaria berkata, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rembia berjanji akan membina Rumah Sejahtera Rakyat milik kerajaan di tapak kediaman yang terbakar itu.

"Saya harap pihak berkaitan dapat membantu menyegerakan pembinaan rumah yang bernilai kira-kira RM40,000 itu.

"Apabila siap, saya boleh bawa ibu dan adik untuk tinggal bersama," katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 2:50pm
d