mutakhir

Minuman keras seludup lebih RM500,000 dirampas [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Putrajaya: Hanya dalam tempoh lima jam, empat kegiatan pengedaran minuman keras seludup tumpas dalam serbuan di Lembah Klang membabitkan rampasan berjumlah RM558,000 termasuk cukai.

Serbuan dilakukan Unit Siasatan Frod Perdagangan (USFP) dengan kerjasama Cawangan Narkotik Kastam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam operasi pada 24 November lalu.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya turut menahan lima lelaki tempatan dalam semua serbuan untuk membantu siasatan.

Menurutnya, serbuan dilakukan ke atas sebuah van di tepi jalan Seri Kembangan pada 12 tengah hari dan menemukan 4,800 tin minuman keras sebelum pemilik kenderaan ditahan.

"Dalam serbuan kedua di Balakong pada 3 petang, pemandu lori dan kelindannya ditahan susulan didapati membawa 1,920 botol bir.

"Hasil soal siasat membawa kepada penahanan sebuah lori lagi di kawasan berhampiran dan menemui 3,528 botol bir. Pemandu lori dan kelindan terbabit turut ditahan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat JKDM, di sini, hari ini.

Abdul Latif berkata, serbuan terakhir dilakukan di sebuah stor di kawasan berhampiran lokasi serbuan ketiga dan menemui 27,000 tin minuman keras, namun tiada tangkapan dibuat.

"Jumlah keseluruhan bir yang dirampas dalam empat serbuan bernilai RM110,000 dengan jumlah cukai dianggarkan sebanyak RM448,000 manakala nilai tiga kenderaan yang disita adalah RM150,000.

"Keempat-empat kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(a) Akta Eksais 1976," katanya.

Menurutnya, JKDM menggesa orang ramai membantu memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

Katanya, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

"Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat di semua negeri bagi menyalurkan maklumat," katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 3:00pm
d