mutakhir

Sidang DUN Negeri Sembilan 'panas' isu tukar hak milik tanah

Oleh BERNAMA

Seremban: Sesi Pertanyaan Lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini, 'panas' dengan isu pertukaran status hak milik tanah daripada pajakan kepada pegangan kekal.

Isu bermula dengan pertanyaan Datuk Ismail Lasim (BN-Juasseh) yang ingin tahu jumlah terperinci permohonan yang diterima oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri bagi penukaran status pegangan tanah daripada pajakan kepada pegangan kekal dan dijawab oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun sebelum dicelah oleh Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau).

Mohamad ketika bangun mencelah berkata, pelaksanaan dasar itu oleh kerajaan negeri seperti 'ada yang tidak betul' dan bercadang mendapatkan penjelasan daripada Majlis Tanah Negara (MTN).

"Kalau ini berlaku, saya berasakan berlaku keadaan yang mengubah landskap Akta Parlimen. Ini perlu diperhalusi dan saya harap kerajaan negeri berhenti dahulu sebentar sebelum kita mendapat pandangan yang seterusnya daripada Majlis Tanah Negara dan Pejabat Peguam Negara.

"Semasa Kanun Tanah Negara diperkenalkan di negara ini, tiada lagi tanah dikategorikan sebagai hak milik kekal melainkan di bawah keadaan tertentu yang istimewa. Itu termaktub dalam Kanun Tanah Negara," katanya.

Kenyataan Mohamad kemudian dibidas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek yang menyifatkan tindakan Ahli DEwan Undangan Negeri (Adun) Rantau itu seolah-olah menidakkan hasrat dan keinginan rakyat.

Mohamad menjelaskan, beliau bukan menghalang kebaikan yang hendak dibuat untuk rakyat sebaliknya sekadar mahu memastikan pelaksanaan itu memperoleh kelulusan MTN agar tidak timbul masalah pada kemudian hari.

"Kalau betul, betullah dan kita akan sokong kerana saya patuh kepada undang-undang. Kalau dah betul nanti, saya sendiri akan bawa surat ini dalam sidang dewan yang akan datang," katanya.

Persidangan bertambah panas apabila Chew Seh Yong (PH-Lobak) yang bangun mencelah mengatakan Mohamad tidak menghormati keputusan kerajaan negeri dan sengaja mahu melakukan sabotaj.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO sekali lagi bangkit menegaskan bahawa tindakannya semata-mata mahu memuaskan hati sendiri.

"Saya cuma nak memuaskan hati saya, apa salah saya menulis surat," katanya sebelum situasi panas itu diredakan Yang Dipertua DUN Datuk Zulkefly Mohamad Omar.

Mohamad kemudian mencadangkan supaya kelulusan yang diperoleh kerajaan negeri berkaitan isu berkenaan dibentangkan pada sesi dewan esok yang juga hari terakhir persidangan dan turut disokong P Gunasekaren (PH-Seremban Jaya) bagi meredakan keadaan.

Terdahulu, menjawab soalan Ismail, Aminuddin (PH-Sikamat) memaklumkan dewan bahawa hingga Oktober lalu, 141 permohonan telah diterima bagi memohon pertukaran hak milik tanah daripada pajakan kepada pegangan kekal, dengan 39 permohonan membabitkan tanah bandar dan 102 permohonan membabitkan tanah pekan dengan kesemua baki pajakan kurang 70 tahun.

"Hingga Oktober lalu, tujuh permohonan diluluskan oleh kerajaan negeri," katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 3:23pm
d