mutakhir

'Saya harap kamu insaf' - Hakim [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Lima kakitangan awam didenda RM1,500 dan RM2,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menyalah guna kuasa bagi pendaftaran akaun baharu e-Perolehan.

Mereka daripada Unit Pendaftaran Syarikat, Kementerian Kewangan (MOF) didakwa menerima tawaran rasuah berjumlah antara RM200 hingga RM600 bagi mempercepatkan proses permohonan baharu dan taraf Bumiputera lima syarikat melalui sistem itu.

Tertuduh, Pembantu Tadbir (Kewangan) Nurul Ashikin Zulkaflee, 33; Siti Nurkhairunnisa Adnan (Penolong Akauntan), 32; Mohd Fairus Hussin (Penolong Pegawai Tadbir), 38; Madiyana Mamat (Penolong Akauntan), 39; dan Azad Fadhmi Abdul Rahman (Penolong Akauntan), 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Manira Md Noor.

Manira menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap Nurul Ashikin dan Azad Fadhmi, manakala Nurkhairunnisa, Mohd Fairus dan Madiyana didenda RM2,000.

Mereka diperintah menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagak membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa ditawarkan wang suapan antara RM200 hingga RM600 bagi mempercepatkan Proses Permohonan Baharu Akaun Kementerian Kewangan beberapa syarikat melalui sistem e-Perolehan di Unit Pendaftaran Syarikat, Bahagian Perolehan Kerajaan, MOF, Putrajaya antara Mei 2018 hingga Jun 2020.

Kesalahan didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau tidak melebihi 10 tahun penjara atau kedua duanya sekali.

Manira berkata, hukuman denda itu diharap dapat memberi pengajaran kepada semua penjawat awam supaya tidak terbabit dalam kegiatan rasuah.

"Walaupun jumlah diambil agak sedikit tetapi ia bermula dari akar umbi yang mana akan bawa kemusnahan kepada keluarga kamu sendiri.

"Saya harap kamu insaf selepas ini. Dengan jumlah kecil itu, jangan dianggap bukan kesalahan. Ia adalah kesalahan yang besar, pada masa akan datang. Mahkamah berharap hukuman ini memberi satu penginsafan kepada semua," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Francine Cheryl Rajendram, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan dan Muhammad Aizat Fakri.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 4:44pm
d