mutakhir

PGA rampas tembakau cuba diseludup

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Longgokan guni ditemukan di tebing sebuah pangkalan haram di Sungai Golok di sini didapati mengandungi tembakau pelbagai jenis dipercayai cuba diseludup ke negara ini.

Barangan itu ditemukan di Pangkalan Haram Tanjung oleh sepasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang melakukan rondaan bermotosikal pada 1 pagi tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 Superintendan Muhammad Shamsuddin berkata, ketika menjalankan tugas sempena Op Benteng Covid-19, anggotanya ternampak longgokan guni putih di tebing sungai sebelum menghampiri untuk membuat pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati guni berkenaan mengandungi tembakau pelbagai jenama dengan tulisan asing termasuk 190 botol cecair yang tidak dapat dipastikan jenis apa.

"Kesemua barangan itu disyaki diseludup dari Thailand dan dianggarkan bernilai RM120,227," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam rampasan berasingan, Batalion 8 PGA meneruskan rondaan di Pangkalan Haram Kebun dan menemui longgokan plastik besar yang mengandungi pakaian dan kain.

Muhammad berkata, semua pakaian dan kain itu juga dipercayai diseludup masuk daripada Thailand dan nilainya dianggarkan sebanyak RM32,050.

"Bagi kedua-dua kes ini, rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 5:00pm
d