mutakhir

Polis kesan 5 skim pelaburan 'tipu'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Hanya dalam tempoh dua bulan, polis menerima 46 laporan dan membuka 20 kertas siasatan berhubung penipuan skim pelaburan dalam talian membabitkan kerugian lebih setengah juta ringgit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Zainuddin Yaacob berkata, skim pelaburan terbabit dikenali Like and Share, Isharefans, Zan Zan Le, Test Fight dan Queqiabao.

Menurutnya, kebanyakan mangsa mendapat maklumat pelaburan itu melalui iklan di Facebook yang meminta mangsa memberikan nombor telefon untuk dihubungi di WhatsApp.

"Suspek akan memberikan pautan laman sesawang dan mangsa perlu memasukkan nombor telefon serta akaun bank.

"Suspek kemudian memberikan kod untuk melihat jumlah keuntungan yang didaftarkan atas nama mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, mangsa dikehendaki melakukan tugasan 'like and share' di laman sosial Tik Tok atau Youtube dengan setiap tanda suka dan perkongsian itu menerima RM1 yang dibayar ke akaun bank mangsa.

Katanya, mangsa turut ditawarkan pakej bayaran RM99 hingga RM9,999 untuk ke peringkat lebih tinggi.

"Kebanyakan mangsa sedar ditipu apabila jumlah keuntungan dijanjikan untuk pengeluaran tidak dapat dibuat. Malah pautan diberikan juga ditutup," katanya.

Katanya, hasil siasatan polis mendapati skim berkenaan menggunakan tujuh akaun bank syarikat berasingan dan pemeriksaan polis di sebuah premis didaftarkan di KL Eco City juga sudah ditutup.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pelaburan secara dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan tanpa perlu berusaha.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui sumber rasmi seperti Semak Mule, Alert List Bank Negara Malaysia, Security Commission serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 5:12pm
d