mutakhir

Beratur mahu dapatkan maklumat i-Sinar

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Suasana di perkarangan bangunan ibu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Raja Laut, di sini, tenang biarpun terdapat ramai pencarum beratur untuk memasuki ruang kaunter pertanyaan.

Tinjauan Harian Metro hari ini, mendapati kebanyakannya beratur untuk mendapatkan maklumat pengeluaran caruman daripada Akaun 1 di bawah program i-Sinar KWSP.

Perkhidmatan KWSP bagaimana berjalan lancar berikutan ramai petugas yang dilihat membantu pencarum yang datang berurusan.

Bagi penghantar surat, Firdaus Basri, 36, dia antara orang yang berkunjung ke KWSP untuk memastikan tarikh tutup permohonan i-Sinar.

"Saya nak dapatkan sendiri kepastian bila tarikh sebenar boleh memohon i-Sinar dan kakitangan KWSP maklumkan keputusan akan diberitahu pada 15 Disember ini.

"Walaupun terpaksa beratur, sekurang-kurangnya saya berpuas hati kerana jika memang saya layak memohon i-Sinar, saya akan gunakan sebaik mungkin wang yang diperoleh termasuk meringankan beban hutang saya," katanya kepada Harian Metro.

Tidak terkecuali pekerja khidmat pelanggan, Rozawati Baharudin, 41, dia yang sejak 12 tengah hari datang ke KWSP juga ingin mendapat penjelasan terperinci mengenai i-Sinar.

"Selain mendapatkan maklumat lebih terperinci, saya juga datang untuk menyemak jumlah dalam akaun KWSP dan saya dimaklumkan bahawa kakitangan KWSP juga belum menerima apa-apa kepastian lagi.

"Bagi saya, jika saya dapat mengeluarkan RM3,000 atau RM4,000 pun sudah memadai sebab pencarum juga sudah menerima pengeluaran RM500 sebulan melalui i-Lestari.

"Lagi pun, kalau duit terlalu banyak di tangan, risau ia akan disalah gunakan untuk membeli keperluan yang tidak sepatutnya," katanya yang bersetuju pengeluaran i-Sinar dikeluarkan mengikut jumlah simpanan dalam Akaun 1 pencarum.

Sementara itu, kakitangan swasta, Renudevi Harbanas Singh, 46, berkata, dia hadir ke ibu pejabat KWSP untuk mengetahui sama ada layak untuk memohon pengeluaran RM10,000 i-Sinar.

Menurutnya, dia mahu mendapatkan kepastian mengenai i-Sinar berharap bantuan itu dapat meringankan beban pencarum.

"Saya sampai dalam 12.30 tengah hari tadi dan beratur seperti biasa. Saya harap jika lulus, duit i-Sinar ini akan saya gunakan untuk membantu keluarga," katanya.

Manakala, bagi perunding, Yusof Osman, 71, berkata, sebaiknya pencarum tidak mengeluarkan wang di Akaun 1 terbabit sebab ia adalah untuk simpanan persaraan.

"Apabila kerajaan memperkenalkan i-Sinar memang ia bagus, tetapi sebenarnya simpanan di KWSP ini lebih selamat dan terjamin, malah pulangan dividennya juga lebih tinggi daripada bank," katanya yang menasihati supaya pencarum menggunakan alternatif lain untuk mendapatkan wang.

Sebelum ini, cawangan KWSP di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Sabah ditutup berikutan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Oktober lalu.

Bagaimanapun, semua cawangan terbabit mula dibuka hari ini dan pembukaan termasuk perkhidmatan kaunter, yang akan beroperasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 dan pengamalan penjarakan fizikal.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 5:20pm
d