mutakhir

Jenayah libat pelajar membimbangkan

Oleh Omar Ahmad

Iskandar Puteri : Trend dan statistik jenayah melibatkan kanak-kanak, sama ada mereka mangsa atau pelaku jenayah di negeri ini membimbangkan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, antara kesalahan indeks jenayah melibatkan pelajar paling tinggi adalah kes curi, mencederakan orang, pecah rumah, rogol dan samun.

Katanya biarpun statistik menunjukkan tangkapan melibatkan pelajar sekolah dalam indeks jenayah menurun, namun ia masih membimbangkan.

"Bagi tahun 2018, tangkapan melibatkan pelajar sekolah dalam indeks jenayah sebanyak 1,388 kes. Bagi tahun 2017 sebanyak 1,230 kes. Dan tahun ini dalam tempoh Januari hingga Oktober sebanyak 538 kes.

"95 peratus pelaku jenayah dikalangan pelajar adalah lelaki berbanding 5 peratus pelajar perempuan. Manakala pelajar yang menjadi mangsa menunjukkan 58 peratus mangsa adalah pelajar perempuan, manakala 42 peratus adalah pelajar lelaki.

"Mangsa paling tinggi adalah kes rogol, cederakan orang, curi motosikal dan kecurian curi. Hampir 99 peratus pelaku jenayah dan mangsa di kalangan pelajar sekolah adalah berusia 13 hingga 18 tahun," katanya.

Menurut Ayob Khan, bagi penglibatan kes narkotik, 38 kes dilaporkan membabitkan 67 pelajar pada 2018.

Diikuti 33 kes membabitkan 43 pelajar pada 2019 dan dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, terdapat 30 kes membabitkan 36 pelajar.

"Semua kes jenayah narkotik melibatkan pelajar sekolah menengah iaitu kesalahan memiliki dadah, memasukkan dadah ke dalam badan dan penyalahgunaan alkaloid ketum.

"Walaupun bilangan kes melibatkan pelajar bagi kes narkotik dalam tempoh tiga tahun menurun, namun langkah pencegahan perlu diambil agar penglibatan pelajar dalam kes jenayah dalam ditangani," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Modul Kesedaran Jenayah Kanak-kanak dan Remaja (MEKAR) PDRM Kontinjen Johor bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.

MEKAR mempunyai tiga fokus besar iaitu modul narkotik, modul gangguan seksual dan modul jenayah sosial.

"Ia akan diedarkan di 1,374 sekolah dan IPT seluruh negeri ini dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ). Selain memberi kesedaran awal terhadap bahaya jenayah, modul itu juga akan mengesan kelompok pelajar bermasalah yang akan dipantau oleh Pegawai Perhubungan Sekolah," katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 5:59pm
d