mutakhir

Kedah luluskan permit teroka mineral RM60 billion

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kerajaan Kedah meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur untuk meneroka mineral di negeri ini yang dianggarkan bernilai RM60 billion daripada keseluruhan RM43 trillion hasil bumi itu di negara ini.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mineral jenis rare earth elements (REE) dan tidak beradioaktif itu didapati di bawah muka bumi Sik, kawasan UIu Muda, Baling serta sedikit di Lenggong, Perak.

Katanya, penggunaan REE kini sangat meluas bagi pembuatan komponen peranti seperti telefon pintar, komputer riba dan peranti lain.

"Kita luluskan permit ini minggu lalu, syarikat ini akan kerjasama dengan syarikat antarabangsa untuk melaksanakan kerja penerokaan berkenaan di satu kawasan di Sik yang cara mengekstrak mineral berkenaan tidak membabitkan aktiviti perlombongan.

"Sebenarnya penemuan mineral ini dikesan lebih 20 tahun lalu, namun tidak popular pada ketika itu, tapi sekarang ia digunakan secara meluas untuk membuat komponen peranti," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya memerlukan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam usaha merangka dasar bersesuaian agar kekayaan sumber asli itu dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat negeri ini.

Selain itu, katanya, Majlis Tanah Negara yang bermesyuarat dua bulan lalu juga sudah meluluskan satu rangka dasar mineral negara yang akan dimuktamadkan nanti.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 6:04pm
d