mutakhir

Berdosa pakai ilmu guna-guna tundukkan isteri untuk poligami

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: "Haram dan berdosa sekiranya menggunakan ilmu guna-guna untuk tundukkan isteri yang bermadu," kata Timbalan Mufti Terengganu, Sahibul Fadilah Ahadi Othman ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Ahadi berkata, poligami dibolehkan di dalam Islam, malah ia sunnah Rasulullah SAW yang diberikan pahala sekiranya diikuti dengan niat mengikut sunnah.

"Bagaimanapun matlamat tidak menghalalkan cara dan perbuatan menggunakan ilmu guna-guna atau sihir ialah haram dan berdosa besar.

"Hidup bermadu tiada masalah kerana ia disarankan dalam Islam untuk seseorang yang berkemampuan, tetapi pastikan ia dijalankan mengikut garis panduan ditetapkan Islam," katanya.

Beliau berkata, ada segelintir suami atau pasangan yang menggunakan ilmu tertentu untuk menundukkan isteri seterusnya boleh menjalani kehidupan bermadu dengan harmoni.

Katanya, jika ingin melembutkan hati isteri ada caranya iaitu dengan cara berdoa atau mengamalkan amalan bacaan al-Quran.

"Tetapi jika sampai sanggup menggunakan jampi serapah serta amalan tertentu bertentangan dengan Islam, perbuatan itu memang salah dan boleh terdorong kepada amalan khurafat dan syirik.

"Sebaik-baiknya pasangan bermadu terutama suami menitik beratkan ajaran dan amalan agama dalam rumah tangga.

"Didik isteri dan anak dengan ajaran Islam seterusnya akan menimbulkan suasana harmoni dan berkat dalam keluarga dan pasangan ingin berpoligami perlu mendalami ilmu agama terlebih dahulu supaya tidak terjebak dengan amalan bertentangan dengan Islam," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang pemuda, Md Fairuz Al Syafiq A Rahman, 34, hidup harmoni bersama dua isterinya, Wan Rafiah Mustafa, 34, dan Rafidah Saidi, 29 di Kampung Teluk Pasu.

Md Fairuz bersama dua isteri dan dua anaknya iaitu Muhammad Rafiq Ar Zafran, dan Muhammad Rizqi Al Qadri yang masing-masing berusia dua tahun tinggal dalam satu rumah sejak bermadu pada 2017.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 6:13pm
d