mutakhir

Empat wanita tersesat di Air Terjun Telaga Tujuh diselamatkan bomba

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Empat wanita termasuk seorang remaja yang tersesat dan terkandas ketika melakukan aktiviti mendaki di Air Terjun Telaga Tujuh di sini, diselamatkan, hari ini.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, mangsa, Nur Anfaal Busyra Abul Aziz,18; Aiman Amirah Zulkifli dan Khairunnasuha Abdul Razak, masing-masing 25 tahun dan Fathiyatulnajat Zulkifli, 21, diselamatkan pihak bomba.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan 1.08 tengah hari.

"Sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera kemudian dikejarkan ke lokasi untuk memberi bantuan kecemasan.

"Sejurus tiba di lokasi, Komandan Operasi mendapati empat mangsa yang melakukan aktiviti mendaki di kawasan Air Terjun Telaga Tujuh telah tersesat jalan pada ketinggian hampir

61 meter," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohamadul Ehsan berkata, anggota bomba melakukan pendakian sebelum berjaya mendapatkan kesemua mangsa dan membawa mereka turun ke laluan yang betul.

"Kesemua mangsa selamat dan tidak mengalami seberang kecederaan, manakala operasi tamat sepenuhnya pada 4 petang," katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 6:17pm
d