mutakhir

Pekerjaan masa depan dianjak akibat pandemik

Oleh Nurmastura Zulkafli

Siapa sangka, pekerjaan idaman seperti juruterbang, pramugari/pramugara dan banyak lagi kini hampir menjadi tidak relevan disebabkan virus COVID-19 yang melanda dunia.

Ramai yang "terduduk" di era yang serba mencabar ini, tetapi inovasi membawa mereka ke suatu tahap yang tidak pernah dijangka.

Menariknya, pelbagai cara dan usaha dibuat untuk meneruskan kelangsungan hidup. Tular di media sosial baru-baru ini bekas juruterbang berpakaian seragam membuka gerai makanan di Subang yang mendapat sambutan dari penduduk setempat.

Begitu juga dengan Abdul Karim (bukan nama sebenar), seorang pegawai eksekutif di sebuah syarikat swasta dengan gaji bulanan cukup untuk menampung sorang anak yang masih kecil dan isteri yang tidak bekerja.

Beliau tinggal di pinggiran bandaraya dan menyewa sebuah apartmen dengan sewa RM900 sebulan. Walaupun mempunyai sebuah kereta buatan tempatan, Abdul Karim berulang alik ke tempat kerjanya dengan motosikal bagi menjimatkan perbelanjaan minyak dan tol.

Apabila kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, Abdul Karim menerima tempias. Syarikatnya tidak berupaya untuk membayar gaji tetapi berjanji kepada pekerja-pekerjanya, mereka boleh kembali bekerja seperti biasa apabila keadaan menjadi reda.

Abdul Karim dan mereka yang senasib dengannya buntu. Untuk meneruskan kelangsungan hidup, Abdul Karim mengambil keputusan untuk menawarkan khidmat membeli-belah kerana ramai yang tidak berani keluar rumah ketika itu.

Dengan sikapnya yang peramah, beliau bersyukur kerana mendapat tempahan yang tidak putus-putus terutama dari warga tua. Upahnya melebihi pendapatan bulanan yang diperolehi dari tempat kerjanya.

Kini, beliau kembali bertugas walaupun terpaksa menerima potongan gaji dengan alasan pendapatan syarikat tidaklah semewah dahulu.

Begitupun, Abdul Karim masih menerima tempahan dari pelanggan-pelanggan tetapnya dan melakukan tugas sampingan apabila pulang dari kerja.

Abdul Karim adalah di antara 38 peratus pekerja di negara ini yang berkecimpung di dalam sektor tidak formal. Secara tidak langsung, beliau mendapat pendapatan lebih dari yang diperolehinya sebelum ini.

Sekumpulan pakar dari ekonomi Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bertemu secara maya baru-baru ini bagi membincangkan tindakan di dalam menentukan arah pekerjaan di masa hadapan.

Mereka bersependapat perlindungan sosial harus disediakan untuk golongan yang kurang bernasib baik ini termasuk memastikan mereka dapat mengadaptasi norma baharu agar tidak tercicir.

Ini termasuk kehilangan pekerjaan disebabkan automasi, pertambahan warga tua dan pekerjaan informal.

Perlindungan sosial harus disediakan untuk golongan kerana ini adalah hak setiap insan.

Perbincangan turut menjurus kepada mengoptimumkan potensi insan di dalam menghadapi masa depan yang tidak menentu dengan menggunakan teknologi serta memacu kemampanan inovasi. 

Cara menjalankan perniagaan juga turut bertukar di dalam mengadaptasikan norma baharu untuk terus relevan kepada pelanggan.

Impak pandemik yang telah membunuh lebih satu juta penduduk dunia memberi kesan kepada perniagaan, tidak kira saiz dan tempat operasi.

Untuk terus menjadi relevan, banyak perniagaan dan institusi pelaburan telah menggunakan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) di dalam DNA mereka.

Kemelut yang tidak pernah berlaku sebelum ini harus ditangani dengan bijak agar ketika rakyat berdepan pandemik covid-19 kebajikan mereka harus dijaga dan ekonomi perlu diteruskan.

Dianggarkan 38 peratus pekerja di negara ini berkecimpung dalam sektor yang tidak formal.

Penghantar makanan, Siti Khadijah Suhaimi, 29, menggunakan basikal untuk menghantar makanan di sekitar pekan Ipoh.

Ramai yang mengambil upah menghantar bungkusan. Mereka digaji mengikut jumlah penghantaran. Tidak kurang juga yang berjinak-jinak berniaga dengan membuka gerai.

Mereka yang terbabit dalam sektor perniagaan tidak formal perlu diberi perlindungan, baik insurans atau dana ketika di dalam kesusahan.

Masalah yang dihadapi golongan pekerja di Malaysia sama sahaja di seluruh dunia. Begitupun, kita bernasib baik kerana kerajaan telah mengumumkan pelbagai insentif, di antaranya Bantuan Prihatin Nasional (BPN), PRIHATIN dan Pelan jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) sebagai bantuan tambahan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin turut mengumumkan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi yang telah berjaya menyelamatkan lebih dari 2.75 juta pekerjaan dan lebih dari 800,000 perniagaan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana, selain dari Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: KITA PRIHATIN yang merangkumi keperluan kaum wanita terutama dari segi kewangan.

Ini adalah persidangan APEC yang kedua dihoskan oleh Malaysia selepas menjadi tuan rumah pada tahun 1998. Persidangan kali ini unik disebabkan kesemua mesyuarat diadakan secara maya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri merupakan sekretariat kebangsaan persidangan kali ini.

APEC dianggotai 21 negara dan ditubuhkan pada tahun 1989. Tahun ini adalah tahun bersejarah kerana pertama kali diadakan secara maya disebabkan kekangan perjalanan akibat COVID-19.

Pada 20 November 2020, Malaysia telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang secara maya sepenuhnya.

Di akhir AELM, Malaysia telah mencipta satu lagi sejarah apabila berjaya mencapai kesepakatan kesemua Pemimpin Ekonomi APEC untuk melancarkan Visi Putrajaya APEC 2040 dan Deklarasi Kuala Lumpur 2020.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 6:40pm
d