mutakhir

Anak bekas Adun Pasir Panjang maut kemalangan

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Anak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Panjang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Kampung Baru Si Rusa di sini, jam 4.30 petang tadi.

Noorfirhad Sainy, 29, yang datang dari arah Batu 4, bertembung dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner yang datang dari arah Sua Betong menyebabkan mangsa yang menunggang LC135 terperosok di bawah kenderaan terbabit.

Saksi, Muzri Abdul Wahab, 40, berkata, ketika kejadian, dia memandu di belakang Toyota Fortuner sebelum kenderaan itu merempuh motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan.

"Toyota Fortuner itu dipandu dalam keadaan perlahan namun ketika melalui keadaan jalan yang agak berselekoh itu, ia tetap dipandu dalam keadaan lurus lalu merempuh motosikal mangsa.

"Saya lihat penunggang motosikal terperosok di bawah Toyota Fortuner. Saya berhentikan kereta dan hubungi isteri yang bekerja di Klinik Kesihatan Port Dickson," katanya.

Menurutnya, dia kemudian membantu pemandu Toyota Fortuner yang juga wanita dan suaminya berusia lingkungan 60-an untuk keluar daripada kenderaan.

Kata Muzri, kedua-duanya tidak cedera namun wanita terbabit kelihatan trauma.

"Wanita itu beritahu, dia baru pulang dari hospital kerana membawa suaminya menjalani dialisis. Suaminya pula berkerusi roda," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd Khairul Nizam Mazelan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.43 petang sebelum bergegas ke lokasi.

"Kami mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah kenderaan terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed mengesahkan kejadian terbabit.

"Kes masih dalam siasatan," katanya dihubungi.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 6:59pm
d