mutakhir

Operasi cari mangsa lemas dihentikan

Oleh Norsyazwani Nasri

Song: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki, Tunu Kudi, 59, yang hilang dipercayai akibat terjatuh perahu di Sungai Katibas, di sini, Sabtu lalu, dihentikan hari ini berikutan gagal menemui sebarang petunjuk.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, hasil perbincangan dengan polis dan keluarga mangsa, mereka mencapai persetujuan untuk menghentikan SAR disebabkan tiada sebarang petunjuk mengenai lelaki terbabit.

"Operasi SAR diberhentikan terus sehingga petunjuk baharu ditemui atau maklumat lain diterima," katanya dalam kenyataan media, petang tadi.

Menurutnya, jarak operasi pencarian diperluaskan sejauh 10 kilometer bermula dari pangkalan Kampung Riank, Jalan Takan Song, muara Sungai Katibas hingga ke Pekan Ngemah, Sungai Batang Rajang.

Namun, operasi SAR dihentikan pada jam 4 petang selepas usaha mencari Tunu gagal.

Katanya, dalam kejadian jam 10 pagi, Sabtu lalu, mangsa dipercayai terjatuh dari perahu ke dalam Sungai Katibas ketika keluar membeli minyak enjin sangkut dan barang keperluan di kedai.

"Penduduk kampung menjumpai perahu mangsa hanyut berdekatan jambatan Sungai Katibas dan memaklumkan kepada anak mangsa mengenai kejadian itu.

"Laporan polis dibuat anak mangsa, Isnin lalu kerana bimbangkan keselamatan bapanya," katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 7:44pm
d