mutakhir

Rugi RM4,600 terima resit pembayaran palsu

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Peniaga produk kecantikan menanggung kerugian RM4,600 selepas mendapati tiada sebarang pemindahan wang dilakukan seorang wanita dikenali Ain, ketika menyemak akaun miliknya, pada 23 November lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 27 tahun menerima satu pesanan daripada suspek yang berminat untuk membeli produk kecantikan dijualnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa mendakwa suspek berminat untuk membeli produk kecantikan dijualnya.

"Suspek membuat tempahan 110 kotak produk kecantikan, 10 botol serum dan 10 bekas sunscreen yang dianggarkan berharga RM4,600.

"Pada jam 8 malam hari sama, mangsa menerima sekeping gambar resit bayaran melalui pesanan aplikasi WhatsApp berjumlah RM1,010 yang didakwa dimasukkan ke dalam akuan mangsa," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, selepas itu suspek memaklumkan baki bayaran akan dibayar keesokan hari dan mangsa bersetuju dengan permintaan itu.

Menurutnya, pada 8 malam 22 November lalu, mangsa menerima satu lagi gambar resit bayaran berjumlah RM2,670 melalui pesanan WhatsApp.

"Kemudian suspek mengatakan pindahan wang itu akan masuk ke akaun pengadu dalam masa tiga hari kerana membuat pindahan secara Wang Interbank Giro (IBG) dan baki akan dibuat pada keesokan harinya.

"Berikutan itu, mangsa membuat penghantaran semua produk dipesan suspek pada 23 November lalu kerana yakin semua wang terbabit akan dimasukkan ke dalam akaun miliknya pada hari itu," katanya.

Beliau berkata, selepas penghantaran selesai dilakukan mangsa membuat semakan di akaun bank miliknya sebelum mendapati tiada wang dimasukkan.

Menurutnya, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, semalam selepas merasakan dirinya diperdaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 7:50pm
d