mutakhir

Warga Bangladesh maut bertembung lori

Oleh Rosman Shamsudin

Tapah: Seorang lelaki warga Bangladesh maut apabila motosikal yang ditunggangi kemalangan dengan lori di Kilometer (KM) 43 Jalan Ipoh-Teluk Intan, dekat sini, petang hari ini.

Dalam kejadian 2.10 petang itu, Hosen Alamgir, 32, maut di tempat kejadian.

Kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggangi mangsa hilang kawalan lalu melanggar hadapan lori terbabit dari arah bertentangan.

Pertembungan itu mengakibatkan pemandu lori terbabit turut hilang kawalan ketika mengelak motosikal mangsa sebelum terbalik di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa yang menetap di Pangsapuri Sri Kepayang, Ipoh dan berkerja sebagai buruh itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori warga tempatan berusia 31 tahun yang dalam perjalanan menuju ke Teluk Intan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 8:37pm
d