mutakhir

Budak dilapor hilang ditemui bersama bapa kandung

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang berhampiran rumahnya di Setapak Jaya, Wangsa Maju, di sini, semalam, ditemui dalam jagaan bapa kandungnya, hari ini.

Kehilangan kanak-kanak berkenaan, Muhammad Afif Mohd Izmeet Iskandar berusia lapan tahun dilaporkan hilang, semalam sebelum maklumat kehilangannya dilaporkan menerusi Sistem National Urgent Response (Nur) Alert, hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak lelaki itu oleh bapa angkatnya berusia 57 tahun, semalam.

"Menurut pengadu, dia bersama kanak kanak itu sebelum menyedari kehilangannya sebaik pulang dari kedai berdekatan dengan pangsapuri didiaminya.

"Pengadu cuba mencari kanak-kanak itu di kawasan berdekatan kediaman namun gagal sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rajab berkata, pihaknya melakukan hebahan siaran media melalui talian Nur Alert berhubung perkara itu.

"Siasatan lanjut mendapati kanak-kanak itu sebenarnya berada dalam jagaan bapa kandungnya. Terdapat sedikit salah faham antara bapa kandung dan bapa angkat kanak-kanak berkenaan yang menyebabkan kejadian terbabit.

"Pemeriksaan awal mendapati kanak-kanak itu dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk dirakam keterangan termasuk pihak lain yang terbabit.

"Sebaik selesai proses dokumentasi, kanak-kanak itu diserahkan semula kepada pengadu untuk tindakan lanjut.

"Kami menyeru kepada semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak betul.

"Kami juga mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama semua pihak atas maklumat dan tindakan segera yang diterima daripada orang ramai sehingga selesainya kes ini," katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 10:21pm
d