mutakhir

Rezeki lain 'menjenguk'

Oleh BERNAMA

Permaisuri: Masih ada rezeki lain tersedia buat sekumpulan nelayan di sekitar Kampung Penarik, dekat sini, meskipun tidak dapat turun ke laut berikutan fenomena musim tengkujuh yang mula melanda negeri pantai timur, khususnya di Kelantan dan Terengganu.

Udang gantung, spesies udang air tawar di Sungai Chalok menjadi lubuk rezeki bermusim buat nelayan di kampung yang terletak 58 Kilometer dari Kuala Terengganu ini, demi meraih pendapatan tatkala tibanya musim monsun timur laut.

Mat Adnan Mohd Amin, 59, berkata, udang gantung ini hanya muncul di sungai pada musim tengkujuh dan ia ditangkap menggunakan peralatan tradisional iaitu gogoh, sejenis perangkap diperbuat daripada buluh dan guni yang berbentuk seumpama bubu.

"Spesies udang air tawar ini akan muncul di sungai terutama Sungai Chalok pada musim tengkujuh. Ia dipanggil udang gantung kerana sifat semula jadinya yang merayap-rayap dan melekat atau tergantung pada pokok di sungai," katanya ketika ditemui di Kampung Penarik, di sini.

Mengulas lanjut mengenai kaedah untuk menangkap udang itu, Mat Adnan anak jati kampung tersebut dan sedang menyara lima orang anak berkata, udang dan isi kelapa dimasukkan sebagai umpan ke dalam gogoh dan perangkap tersebut dibiarkan semalaman di celah pokok di sungai berkenaan.

"Dalam sehari, saya mampu mendapat hasil sehingga 18 kilogram udang gantung terperangkap di dalam gogoh," kata Mat Adnan yang mewarisi kepakaran menangkap udang gantung secara turun-temurun dari keluarganya.

Menurut beliau ada lapan nelayan dari Kampung Penarik yang turut menjadikan udang gantung sebagai punca rezeki setiap kali tiba musim tengkujuh dan hasil tangkapan bukan saja dijual kepada penduduk sekitar, malah peraih dan peniaga termasuk dari luar Setiu dengan harga antara RM18 hingga RM20 sekilogram.

Melalui aktiviti menangkap udang gantung dilakukan setiap pagi pada musim tengkujuh ini, beliau meraih pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

"Setiap hari, lebih kurang jam 7 pagi saya akan menaiki sampan untuk menangkap udang gantung. Dua jam selepas itu saya pulang dengan hasil tangkapan dan kebiasaannya sudah ada pembeli menunggu di rumah atau menempah beberapa hari lebih awal," katanya yang mempunyai 100 gogoh hasil buatannya sendiri.

Katanya, udang tersebut mendapat permintaan tinggi kerana rasanya lebih sedap berbanding spesies udang biasa di pasaran.

"Walaupun saiz udang gantung kecil, tetapi isinya lembut dan manis. Paling sedap dimasak gulai nasi dagang. Malah, ia sangat lazat walau hanya direbus dengan nisang (gula melaka) dan sedikit garam," katanya yang menjual udang dibantu isteri, Rohani Embon, 58.

Sementara itu seorang penjual daging, Mohamad Yusof, 72, berkata, beliau sanggup memandu sejauh 45 kilometer dari rumahnya di Jertih setiap hari, semata-mata ingin mendapatkan stok udang gantung dari nelayan-nelayan di Kampung Penarik.

Katanya, beliau membeli lebih 20 kilogram udang gantung setiap hari untuk dijual semula di gerainya di Kampung Gong Kepas di Jertih.

"Memang udang gantung mendapat permintaan tinggi kerana ia hanya boleh didapati pada musim tengkujuh. Lazimnya, 20 kilogram udang diletakkan di gerai pak cik akan habis terjual dalam masa tidak sampai sejam," katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 7:01am
d