mutakhir

Kerajaan belum sedia naikkan usia persaraan

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Kerajaan tidak berhasrat untuk meningkatkan usia persaraan buat masa ini seperti yang dicadangkan oleh Bank Dunia semalam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, pelbagai faktor perlu dikaji terlebih dahulu jika mahu meningkatkan usia persaraan sehingga 65 tahun.

"Kita kena kaji laporan dan asas (tingkatkan usia persaraan) serta lihat isu sosial yang ada sekarang ini. Kena lihat juga jangkaan umur serta dari segi demografi negara.

"Walaupun ini cadangan Bank Dunia tapi kita perlu menilai terlebih dahulu sebelum melaksanakannya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak menolak kemungkinan cadangan itu dilaksana pada masa akan datang sekiranya berkeperluan.

"Jika ada keperluan untuk berbuat demikian dan lihat pada segi demografi pengangguran pada masa itu, mungkin kita boleh melaksanakannya.

"(Namun) Kita kini sangat sensitif dengan kedudukan kewangan negara dan buat masa ini belum ada perbincangan rasmi mengenai hal itu (naik umur persaraan) dan kita belum mahu melaksanakannya," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Wakil dan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia, Firas Raad yang mencadangkan kerajaan supaya meneliti semula dasar had usia persaraan berikutan status sebagai negara mempunyai masyarakat berusia atau menua, berikutan aspek demografinya yang berganjak ke era kadar kesuburan dan kematian yang rendah.

Katanya, Malaysia melangkaui pencapaian bermakna dalam trajektori pembangunannya tahun ini dan negara dengan masyarakat menua berdasarkan takrifan konvensyen antarabangsa, iaitu tujuh peratus atau lebih penduduk berusia 65 tahun dan ke atas.

Jelas Firas berkata, negara seperti Korea Selatan, Jepun dan Thailand menyaksikan lebih 65 peratus rakyat berusia 55-64 tahun masih aktif dalam pasaran tenaga kerja.

Ketika ini, Malaysia menetapkan had umur persaraan pada 60 tahun, yang diguna pakai sejak 2012. Kerajaan mengkaji kadar usia persaraan sebanyak tiga kali dalam tempoh 20 tahun.

Perubahan pertama pada 2001 yang menaikkan had usia 55 tahun kepada 56 tahun, diikuti pada 2008 yang meningkat kepada 58 tahun sebelum perubahan terkini pada 2012.

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 12:21pm
d