mutakhir

6,859 PATI diusir sejak Januari hingga September lalu

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Seramai 6,859 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Indonesia, Filipina dan lain-lain negara diusir dari Malaysia sepanjang tempoh negara berdepan Covid-19 bermula Januari hingga September 2020.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Ismail Mohamed Said berkata, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) yang terbahagi kepada dua peringkat iaitu Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Induk) dan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS-Teknikal).

Katanya, susulan daripada peralihan pentadbiran kerajaan, JKPWAS diaktifkan semula dengan penambahbaikan struktur dengan JKPWAS-Induk masih dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah.

Manakala, JKPWAS-Teknikal pula dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri.

"Kedua-dua Jawatankuasa dianggotai oleh jabatan dan agensi Persekutuan dan negeri yang terbabit dengan pengurusan warga asing di Sabah yang antara lainnya adalah Jabatan Ketua Menteri Sabah, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta beberapa agensi berkaitan.

"Jawatankuasa ini sentiasa mengambil langkah proaktif dalam mengatasi isu berbangkit bagi melaksanakan pelan tindakan dirumus oleh suruhanjaya termasuk isu pendatang asing di Sabah melalui mesyuarat berkala sepanjang tahun," katanya pada sesi pertanyaan dan jawab lisan di parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beufort) mengenai apakah perancangan kerajaan dalam menangani isu kebanjiran pendatang asing di Sabah memandangkan lonjakan kes Covid-19 di negeri berkenaan berpunca daripada kemasukan pendatang asing dari Filipina dan Indonesia.

Katanya, antara langkah yang diambil kerajaan adalah dengan menggiatkan tindakan penguatkuasaan serta pengusiran pendatang asing di Sabah melalui Operasi Bersepadu.

Operasi ini membabitkan beberapa agensi MKN Negeri Sabah, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), JIM, PDRM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 1:16pm
d