mutakhir

Konsesi Bernas lanjut 10 tahun lagi - Ronald Kiandee

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju melanjutkan konsesi Padiberas Nasional Bhd (Bernas) bagi pengedaran beras di negara ini untuk tempoh 10 tahun lagi bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031, dalam usaha melindungi komoditi strategik khususnya beras sebagai makanan ruji rakyat Malaysia.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerajaan telah mengadakan beberapa siri rundingan bersama Bernas bertujuan meneliti dan memuktamadkan terma, syarat serta perjanjian konsesi bagi memastikan kepentingan kerajaan sentiasa dilindungi.

"Bernas diberikan hak selaku pengimport beras ke dalam negara berdasarkan kuota bagi menampung kekurangan pengeluaran dalam negara seperti yang ditetapkan oleh kerajaan. Sebagai timbal balik, Bernas perlu melaksanakan obligasi sosial yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Perjanjian dengan Bernas juga telah memperuntukkan klausa berkaitan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang mensyaratkan Bernas perlu mematuhi objektif perjanjian dan tahap perkhidmatan seperti yang telah dipersetujui," katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Konsesi antara kerajaan Malaysia dan Bernas di sini, hari ini.

Konsesi pertama Bernas, yang berfungsi memastikan kecukupan dan keselamatan makanan ruji negara, selama 15 tahun bermula pada 12 Januari 1996 sehingga 11 Januari 2011 dan dilanjutkan untuk tempoh 10 tahun lagi dari 11 Januari 2011 sehingga 10 Jan 2021.

Kiandee berkata, secara keseluruhan, konsesi baharu telah ditambah baik dengan beberapa terma baharu termasuk penambahan bilangan obligasi sosial daripada lima kepada 10.

Antara obligasi sosial ini termasuk memelihara, menyelenggara, mengurus dan mengekalkan stok penimbal beras negara pada paras kuantiti yang ditetapkan kerajaan; bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada petani; pengurusan dan pembayaran subsidi kepada petani serta membangunkan sawah berskala besar.

Kiandee memaklumkan pelaksanaan obligasi sosial Bernas akan terus dipantau Jawatankuasa Pemantauan sebagai badan penilai berdasarkan KPI yang ditetapkan untuk setiap obligasi sosial yang dipersetujui.

"Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu kesan penularan pandemik Covid-19, jaminan bekalan makanan negara perlu diberi keutamaan.

"Justeru, dengan pengalaman sedia ada yang dimiliki Bernas selama 24 tahun dalam industri akan dapat membantu kerajaan, memastikan kestabilan bekalan makanan ruji rakyat Malaysia untuk jangka masa panjang," katanya.

Beliau berkata kerajaan telah memastikan bekalan beras dalam negara mencukupi pada setiap masa dan akan terus memastikan pengurusan industri yang lebih efisien dan berdaya saing serta memastikan bekalan beras negara sentiasa terjamin.

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 2:47pm
d