mutakhir

Bina 100 lagi rumah Rumah Rakyat Pahang

Oleh Roselan Ab Malek

Lipis: Kerajaan Pahang memperuntukkan RM6.5 juta untuk membina 100 unit rumah bagi Projek Rumah Rakyat Pahang (RRP), tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, RRP adalah projek perumahan yang dibiayai Kerajaan Negeri dan diberikan secara percuma kepada mereka yang layak khususnya golongan B40.

Katanya, ia bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan memiliki kediaman sendiri.

Katanya, usaha ini adalah selaras dengan kemampuan kewangan Kerajaan Negeri seperti diumumkan dalam pembentangan Bajet 2021 Negeri Pahang pada 16 November lalu.

"Tahun ini kita memperuntukkan sebanyak RM6.37 juta untuk membina 98 unit rumah RRP, dan tahun depan kita memperuntukkan sebanyak RM6.5 juta lagi untuk membina 100 unit rumah.

"Sumber kewangan bagi pembinaan RRP berharga RM 65,000 ini adalah daripada dana Tabung Perumahan Rakyat Pahang (TPRP) sebanyak RM55,000 dan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM10,000," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan kunci lima rumah RRP bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Jelai, Dun Tanah Rata dan Parlimen Cameron Highlands di Kampung Terakit di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Datuk Abd Rahim Muda; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku, Dato Mustapa Long; Adun Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Kiram; Adun Cheka, Lee Ah Wong dan Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd Hafizi Ibrahim.

Wan Rosdy berkata, individu yang layak menerima RRP ialah mereka yang disahkan miskin tegar dan berdaftar melalui e-kasih, memiliki tanah sendiri, selain penerima disahkan layak oleh Focus Group Daerah atau negeri.

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 3:13pm
d