mutakhir

RUU Perbekalan (Belanjawan) 2021 MEDAC lulus [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.

Speaker Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan perkara itu selepas majoriti ahli parlimen bersetuju secara sebulat suara tanpa undi belah bahagi.

Sebelum itu, menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggulung perbahasan di peringkat kementeriannya hari ini.

Beberapa ahli Yang Berhormat mengambil bahagian dalam sesi perbahasan termasuklah Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian), Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik), V Sivakumar (Dap- Batu Gajah) dan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR- Hang Tuah Jaya).

Antara isu yang dibangkitkan adalah mengenai pinjaman kepada golongan muda untuk memulakan perniagaan, pemerkasaan gerakan koperasi.

Wan Junaidi berkata, pihaknya mempunyai perancangan untuk menjadikan Institut Koperasi Malaysia akan dinaiktaraf sebagai kolej universiti dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Saya sangat optimistik kita mampu lakukan ini dan akan melahirkan anggota koperasi sebagai pentadbir berpengalaman dan memberi manfaat kepada ahli.

"Antara program yang kita akan buat ialah program 2+2 iaitu dua tahun di kolej manakala selebihnya di industri," katanya.

Dalam Belanjawan 2021, sejumlah RM4.6 bilion disediakan bagi pemerkasaan usahawan bumiputera merangkumi RM510 juta bagi tujuan pembiayaan di bawah TEKUN Nasional dan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).

Manakala RM800 juta pula diperuntukkan melalui program peningkatan keupayaan oleh SME Bank dan Bank Pembangunan Malaysia.

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 4:26pm
d