mutakhir

Penyelesaian Komersial dimeterai Isnin depan

Oleh Melvin Joni

Kuching: Kerajaan Sarawak dan Petronas akan menandatangani Penyelesaian Komersial pada Isnin depan berhubung dengan pengenaan Cukai Jualan Negeri (SST) dan keputusan Sarawak untuk mengendalikan perlombongan minyak di bawah undang-undang negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, perincian mengenai perkara itu akan didedahkan setelah perjanjian berkenaan ditandatangani secara rasmi.

Katanya, Kerajaan Sarawak akan diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion manakana Petronas diwakili pengerusinya Datuk Ahmad Nizam Salleh.

"Upacara bersejarah ini akan diadakan di Kuala Lumpur dan disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama seluruh pasukan perundingan dari Kerajaan Sarawak dan Petronas," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Jawatankuasa Perundingan Sarawak diberi penerangan mengenai Penyelesaian Komersial semasa mesyuarat di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, semalam.

Katanya, taklimat itu dilakukan oleh wakil kerajaan negeri yang terbabit dalam rundingan dengan Petronas.

"Setelah perbincangan antara Kerajaan Sarawak, Kementerian Kewangan dan Petronas, kerajaan negeri dan Petronas menyetujui syarat Penyelesaian Komersial," katanya.

Mohamad Asfia berkata, kerajaan persekutuan membentuk jawatankuasa bersama yang diketuai oleh Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk memudahkan perbincangan antara kerajaan negeri dan Petronas.

Petronas mengemukakan semakan kehakiman pada penghujung tahun lalu selepas Sarawak mengenakan SST 5 peratus pada Januari 2019 ke atas produk petroleumnya.

Petronas berpendapat bahawa SST yang dikenakan oleh Sarawak tidak sah kerana perkara itu di bawah Senarai Persekutuan dan tidak boleh dikenakan cukai dua kali kerana syarikat minyak nasional itu sudah membayar cukai kepada Putrajaya dalam bentuk cukai pendapatan petroleum.

Selain itu, Petronas berpendapat bahawa SST juga bertindih dengan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 yang menyatakan bahawa Petronas adalah pengurus semua aset minyak dan gas di negara ini.

Oleh kerana Petronas tidak membayar SST, Sarawak mengemukakan saman sivil bernilai RM1.3 bilion terhadap syarikat itu.

Pada Mei lalu, kerajaan persekutuan, Kerajaan Sarawak dan Petronas bersepakat bahawa isu berkaitan dengan pengenaan SST dan keputusan negeri untuk mengendalikan perlombongan minyak di Sarawak berdasarkan undang-undang negeri harus diselesaikan tanpa melalui proses undang-undang.

Berikutan itu, tindakan undang-undang yang dimulakan oleh Petronas dan kerajaan Sarawak ditarik pada Ogos lalu.

Petronas kemudian membayar SST kepada Kerajaan Sarawak untuk 2019 berjumlah RM2.9 bilion.

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 5:39pm
d