mutakhir

Tindakan kompaun mereka bermain banjir tepat

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Tindakan polis Kelantan mendenda individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika banjir dilihat amat tepat dalam mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, pihaknya menyokong tindakan itu kerana ia bukan hanya dapat membendung penularan Covid-19, tetapi mengelak kejadian lemas.

Beliau berkata, ini disebabkan terdapat segelintir pihak menjadikan banjir yang berlaku setiap tahun sebagai tempat untuk berpesta.

"Melalui rondaan dan pemantauan, masih ada yang bermain air terutama kanak-kanak tanpa pengawasan dan kita bimbang kejadian buruk akan berlaku.

"Jadi apabila Polis Kelantan buat tindakan denda, saya berpendapat tindakan itu amat signifikan. Apabila didenda, kita mungkin kehilangan duit untuk bayar saman, tetapi ia lebih baik daripada kehilangan nyawa.

"Saya rasa langkah itu boleh dilaksanakan di sini (Terengganu) sebagai peringatan kepada ibu bapa atau penjaga supaya tidak membiarkan anak mereka bermain air ketika musim tengkujuh," katanya ketika melakukan pemantauan di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Terdahulu, orang ramai di Rantau Panjang dan Pasir Mas, Kelantan diingatkan mereka boleh dikompaun jika didapati bermain air secara berkumpulan di tempat yang dilanda banjir.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, surat pemakluman mengenai tindakan kompaun itu sudah dihantar kepada ketua jajahan Pasir Mas dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk pelaksanaan.

Katanya, Pekan Rantau Panjang diibaratkan seperti 'taman tema air' bagi penduduk di Kelantan, malah gerai jualan turut dibuka di sekitar kawasan berkenaan setiap kali musim tengkujuh.

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 6:05pm
d