mutakhir

Menara Bandaraya MBSP jalani sanitasi

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) giat menjalankan kerja-kerja sanitasi di dalam dan luar pejabat Menara Bandaraya MBSP di Bandar Perda, di sini, susulan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19, semalam.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud, berkata seramai 34 anggota pasukan Covid-19 dari Jabatan Perkhidmatan Kesihatan MBSP kini berada di bangunan itu bagi melakukan kerja-kerja berkenaan.

"Selain itu, Wira Oren juga ditugaskan untuk membuat sanitasi di semua permukaan yang selalu disentuh oleh pengunjung.

"Orang awam yang berurusan dengan MBSP tidak perlu perlu bimbang kerana keselamatan anda adalah menjadi keutamaan kami," katanya yang memaklumkan perkembangan terkini di laman rasmi Facebook MBSP, hari ini.

Hari ini, MBSP mengesahkan terdapat seorang kakitangannya dijangkiti Covid-19 selepas dimasukkan ke sebuah hospital, kelmarin.

Berikutan itu, sebagai langkah pencegahan, MBSP mengenal pasti semua kakitangan dan pegawai yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit berkenaan dan diarahkan bekerja dari rumah.

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 6:54pm
d