mutakhir

Terima 'tetamu' selepas 7 tahun

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Selepas tujuh tahun disenaraikan sebagai pusat pemindahan sementara, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang, di sini, menerima 'tetamu' pertamanya awal pagi tadi.

Seramai 54 mangsa banjir membabitkan 17 keluarga dari Kampung Gong Pok Maseh, Kampung Bukit Kecil, Kampung Gong Tok Nasek dan Kampung Tok Ku, berpindah ke PPS berkenaan pada 1.30 pagi, selepas kediaman masing-masing dinaiki air.

SK Pasir Panjang menjadi PPS terbaru yang dibuka selepas keadaan banjir di kampung berkenaan bertambah buruk.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Penaga, Mustapa Salleh berkata, walaupun SK Pasir Panjang tidak menerima mangsa banjir lebih tujuh tahun, tetapi semua jawatankuasa sentiasa bersiap siaga membantu agensi kerajaan mengendalikan mangsa banjir.

"Tiga bilik darjah dibuka untuk menempatkan semua mangsa banjir apabila didiami dinaiki air antara satu dan tiga meter.

"Berdasarkan kepada keadaan terkini hujan yang dilaporkan akan memasuki zon merah, lebih ramai lagi mangsa banjir akan dipindahkan di PPS SK Pasir Panjang," katanya, hari ini.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS meningkat kepada 832 mangsa daripada 232 keluarga sehingga jam 6 petang ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah PPS yang dibuka juga bertambah kepada 21, berbanding hanya 17 PPS pada 4 petang tadi.

Beliau berkata, jumlah mangsa banjir dan PPS yang akan dibuka dijangka bertambah susulan hujan lebat masih melanda di beberapa daerah di negeri ini.

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 7:16pm
d