mutakhir

Berjaga temani isteri, anak tidur ketika banjir

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: "Tiga anak saya ketakutan terutama yang bongsu berusia setahun setengah dan fobia dengan apa yang berlaku, selain kesejukan tidur dalam keadaan rumah digenangi air," kata Mohd Azwan Abd Wahab, 30.

Mohd Azwan antara mangsa banjir dari Kampung Gong Tok Nasek di sini, yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang, di sini, selepas kediaman mereka dinaiki air sedalam 0.4 meter, semalam.

Menceritakan semula kejadian banjir di kampungnya itu, Mohd Azwan berkata, dia tidak menyangka air memasuki rumah begitu pantas menyebabkan beberapa barangan seperti mesin basuh, peti sejuk dan almari mengalami kerosakan.

"Kawasan rumah ini agak rendah dan sering dinaiki air sekiranya hujan lebat, tetapi tidak pernah berpindah (ke PPS). Kali terakhir, berlaku keadaan seperti ini pada 2018.

"Malam tadi air naik sangat cepat menyebabkan saya hanya sempat mengalihkan kereta ke tempat tinggi manakala barang berat seperti mesin basuh dan peti sejuk tidak sempat dipindahkan ke tempat selamat.

"Peti sejuk dan mesin basuh saya dah angkat tinggi daripada lantai kerana sebelum ini air hanya masuk separas buku lali sahaja di dalam rumah, tetapi kali ini tidak sangka sedalam melebihi paras lutut (hampir setengah meter)," katanya ketika ditemui selepas diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat bersama isteri,

Menurutnya, bimbang air semakin naik, dia terpaksa berjaga isteri Rohaniza Yahya, 30, dan tiga anak, Muhammad Aqil Ziqri 7, Arissa Qaisara, 5, dan bayinya, Muhammad Ammar Zafran tidur di bilik.

Dia yang bekerja sebagai peniaga berkata, bimbang terperangkap dalam banjir, dia berusaha untuk keluar sendiri ke PPS ketika air naik sekitar 10 malam namun, memikirkan keselamatan isteri dan anak, dia terpaksa abaikan sebelum mendapat bantuan pihak keselamatan.

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 7:41pm
d