mutakhir

Banjir di Terengganu semakin buruk

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Banjir di Terengganu bertambah buruk apabila semua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di seluruh daerah.

Sehingga 11 malam tadi, seramai 1,817 mangsa daripada 503 keluarga ditempatkan di 49 PPS berbanding hanya 781 mangsa daripada 218 keluarga di 17 PPS pada 4 petang tadi.

Hulu Terengganu dan Besut menjadi daerah terbaharu yang terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan sejak petang semalam.

Secara keseluruhan, jumlah mangsa di seluruh daerah kecuali Kemaman menunjukkan peningkatan dengan Marang masih merekodkan jumlah mangsa yang tertinggi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, daerah Marang masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi apabila 181 keluarga membabitkan 681 mangsa ditempatkan di tujuh PPS.

Katanya, ia menunjukkan peningkatan berbanding jam 4 petang tadi apabila hanya 298 keluarga daripada 81 keluarga ditempatkan di tiga PPS.

"Di daerah Setiu yang sebelum ini hanya membuka sebuah PPS bagi menempatkan empat keluarga membabitkan 16 mangsa kini bertambah kepada 16 PPS bagi menempatkan 284 mangsa daripada 77 keluarga.

"Seramai 226 mangsa daripada 65 keluarga ditempatkan di empat PPS di Kuala Terengganu manakala 51 keluarga membabitkan 200 mangsa ditempatkan di enam PPS di Kuala Nerus," katanya kepada Harian Metro, malam ini.

Che Adam berkata, Besut yang menjadi daerah terbaharu terjejas akibat banjir membuka sembilan PPS bagi menempatkan 265 mangsa daripada 79 keluarga manakala seramai 14 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di satu PPS di Hulu Terengganu.

Katanya, jumlah mangsa di Kemaman menunjukkan sedikit penurunan apabila seramai 87 mangsa daripada 28 keluarga masih ditempatkan di tiga PPS berbanding 94 mangsa daripada 30 keluarga petang tadi.

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 11:41pm
d