mutakhir

Mangsa banjir di Kelantan meningkat

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 283 orang pada pagi hari ini berbanding 182 orang malam tadi.

Ia membabitkan sebanyak 75 keluarga di sembilan pusat pemindahan di dua daerah.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dibuka di Kota Bharu iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Melor dengan menempatkan 23 mangsa, SK Tiong (49 mangsa) dan Islamic Outreach Abim Kok Lanas (11 mangsa).

Di Pasir Puteh pula membabitkan enam PPS iaitu Dewan Kompleks Kamil (67 mangsa), SK Bukit Jawa 2 (37 mangsa), SK Wakaf Raja (31 mangsa), SK Kamil 3 (25 mangsa), SK Sungai Petai (23 mangsa) dan SK Changgai (17 mangsa).

Kesemua mangsa banjir berkenaan mula dipindahkan petang semalam sehingga awal pagi hari ini berikutan hujan lebat sejak pagi semalam.

Mangsa banjir berkenaan turut membabitkan 12 orang kurang upaya (OKU) dan tujuh bayi.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 8:32am
d